Horizon Forbidden West: Boleh Beli or Boleh Blah!?

Imbas semula ke tahun 2017, Horizon Zero Dawn telah dilancarkan tanpa sebarang harapan yang tinggi, namun penerimaan game tersebut selepas pelancaran telah membuatkan Horizon Zero Dawn menjadi antara game eksklusif dari Playstation yang menemui kejayaan.

Setelah penantian lima tahun selepas pelancaran Horizon Zero Dawn, kini sekuel yang dinantikan oleh peminat siri Horizon iaitu Horizon Forbidden West akan dilancarkan di kedua-dua konsol PS4 dan PS5 pada 18 Februari 2022. Dibangunkan oleh Guerrilla Games, Horizon Forbidden West kali ini dikatakan antara game yang paling dinantikan pada tahun 2022 dan berdasarkan daripada beberapa teaser yang ditunjukkan dari pihak Sony, Guerrilla nampak mengambil langkah yang serius dalam mengembangkan sekuel siri Horizon ini.

Adakah Horizon Forbidden West mampu mengikut kejayaan game sebelum ini? Ayuh kita terus ke review.

Kali ini apa pulak Aloy?

Horizon Forbidden West menyambung semula penceritaan Horizon Zero Dawn setelah HADES ditewaskan oleh Aloy.

Aloy kini meneruskan pengembaraan beliau ke wilayah Forbidden West untuk mencari jawapan atas penyakit dan wabak yang menyerang dan membunuh segala jenis makhluk muka bumi secara tiba-tiba selepas HADES berjaya ditewaskan.

Kini Aloy tidak berseorangan, malah ditemani oleh rakan-rakan seperjuangan beliau untuk membantu beliau menyelamatkan dunia. Aloy menerokai kawasan baharu di Forbidden West yang dihuni dan dijaga secara ketat oleh puak Tenakht yang lebih agresif.

Walaupun persekitaran di Forbidden West tidak banyak berbeza dengan persekitaran wilayah dalam game pertama Zero Dawn, namun wilayah Forbidden West hadir dengan persekitaran pantai tropika yang cantik seperti sedang berada di Hawaii.

Seperti game pertama Zero Dawn, Horizon Forbidden West padat dengan pelbagai quest dan aktiviti-aktiviti. Jika anda ingin mengikuti susur penceritaan utama, maka anda hanya perlu menyelesaikan dan mengikut segala misi di Main Quest.

Jika anda mempunyai banyak masa untuk meneroka dunia Forbidden West maka anda boleh mengikuti aktiviti lain yang ditawarkan seperti Side Quest, Errands, Cauldron dan lain-lain.

Mari kita bercakap tentang grafik

Seperti yang sedia maklum, Horizon Forbidden West juga bakal dilancarkan untuk konsol PS5 dan memanfaatkan sepenuhnya semua fungsi yang ada pada konsol tersebut.

Penulis boleh katakan grafik dalam game kali ini sangat memukau dan betul-betul menggunakan sepenuhnya fungsi dan teknologi next-gen yang ada pada konsol PS5.

Jika dibandingkan dengan game pertama yang dilancarkan khas untuk konsol PS4, Horizon Forbidden West menawarkan model karakter yang lebih terperinci dan reaksi muka yang lebih baik.

Penambahbaikan ini memang bukanlah sesuatu yang mengejutkan jika mengambil kira teknologi next-gen yang lebih baik, namun grafik yang cantik merupakan salah satu nadi sebuah game yang bagus dan Horizon Forbidden West berjaya membuktikan pandangan tersebut.

Sekuelnya kali ini hadir dengan dua mode grafik iaitu Performance dan Resolution.

Mode Resolution menawarkan gameplay dalam resolusi 4K dan 30fps manakala mode Performance pula memfokuskan permainan untuk mencapai 60fps namun dalam resolusi yang rendah sedikit.

Bermain game ini dalam mode Resolution di TV 4K bersaiz 40 inci sudah cukup untuk membuat penulis terpukau dengan persembahan grafik yang sangat cantik walaupun dalam framerate 30fps.

Lain daripada itu, kelebihan next-gen lain seperti SSD yang lebih laju sangat membantu untuk melancarkan perjalanan game. Walaupun masih terdapat loading screen, namun segalanya dimuat dengan pantas untuk game yang boleh dikatakan padat dan berat ini.

Namun penulis beberapa kali berhadapan dengan mungkin boleh dikatakan bug di mana kadangkala skrin beberapa kali menjadi hitam secara tiba-tiba untuk satu saat dan selepas itu pulih semula ke permainan.

Pernah juga sekali berlaku di mana tekstur persekitaran tidak dimuat sepenuhnya untuk beberapa saat semasa bermain, tidak pasti memang bug dalam game ataupun PS5 penulis yang bermasalah.

Walau bagaimanapun bug-bug ini tidak mengganggu permainan dan sangat minor. Diharap isu ini dapat diambil cakna pihak Guerrilla untuk diperbaiki kelak sebelum pelancaran.

Mengekalkan dan menambahbaik

Seperti mana gameplay yang lama, begitu jugalah gameplay yang baharu namun dengan penambahbaikan yang sangat ketara. Horizon Forbidden West tidak langsung mengubah identiti siri game ini dengan gameplay yang baharu bahkan ia telah diberikan beberapa penambahbaikan yang sangat membantu dalam penerokaan sekuel kali ini.

Pertempuran melee merupakan salah satu elemen yang telah dinaiktaraf dan dengan naik taraf tersebut kini anda dapat membuat gerakan combo melee apabila melawan musuh.

Combo-combo ini sangat membantu dalam menewaskan musuh terutama musuh manusia yang pada kali ini rata-rata memakai perisai yang sangat sukar untuk diutuhkan.

Pada waktu yang sama, pemain akan mempunyai akses kepada beberapa gerakan berkuasa yang boleh digunakan untuk mengalahkan musuh dengan cepat, walaupun mereka perlu mengecasnya terlebih dahulu salah satunya ialah Valor Surges.

Serangan khas boleh digunakan apabila anda berjaya menewaskan musuh, mengecas bar ungu dalam paparan kepala permainan.

Pertempuran melee seperti ini sudah tentu akan memberi kepuasan dan keterujaan kepada pemain. Penulis juga merasakan bahawa sekuel kali ini menawarkan lebih banyak pertempuran melee sepanjang menjalankan quest mission dan juga mode baharu iaitu Melee Pit yang penulis akan ulas lebih lanjut mengenainya kemudian.

Selain itu, kini Aloy telah dilengkapi dengan Shieldwing yang sangat membantu apabila terjun atau lompat di kawasan yang tinggi. Dengan menekan lama butang square di controller anda selepas melakukan loncatan, anda dapat mengaktifkan parachute secara automatik dan mengawal di mana anda akan mendarat. Ianya tidak tumpah seperti anda bermain Fortnite apabila turun dari Battle Bus, fungsi yang sangat menarik dan cukup membantu.

Jika sebelum ini kebolehan berenang Aloy hanya terhad di dasar sahaja, pada Forbidden West ini kebolehan berenang telah diberi naik taraf dan kini Aloy berkeupayaan untuk menyelam ke dasar laut atau tasik. Dengan adanya kebolehan ini, kini Aloy mampu untuk bukan sahaja meneroka dunia dasar laut malah beliau berupaya untuk bertempur dengan machine sambil berenang.

Memanjat merupakan salah satu elemen penting di dalam siri Horizon ini namun fungsi memanjat ini hanya tertakluk kepada keadaan sesuatu permukaan. Ketika bermain Horizon Zero Dawn, fungsi memanjat ini hanya terhad kepada permukaan yang jelas boleh dipanjat dan ianya agak rumit apabila anda kena mencari sendiri permukaan tersebut.

Oleh hal yang demikian, fungsi tersebut telah ditambahbaik dalam Horizon Forbidden West ini dan kini aktiviti memanjat menjadi lebih bebas kerana hampir setiap permukaan yang curam boleh dipanjat oleh pemain.

Bahkan anda boleh menggunakan Focus untuk mengesan permukaan yang boleh dipanjat, permukaan yang boleh dipanjat tersebut akan ditonjolkan dalam warna neon kuning.

Tambahan pula, Guerrilla juga memperkenalkan gajet yang bernama Pullcaster di mana ia boleh digunakan sebagai penyangkuk yang boleh dicampak untuk mencapai tempat yang lebih tinggi, bertindak sebagai grappling hook. Lebih kurang seperti kebolehan Pathfinder di dalam Apex Legends.

Lebih banyak machine, lebih banyak cabaran

Apalah Horizon kalau tiada machine-machine yang berkeliaran di setiap pelosok persekitaran. Game kali ini membawa semula beberapa buah machine dari Zero Dawn di samping memperkenalkan lebih banyak machine baharu yang penulis berpendapat lebih sukar untuk dikalahkan.

Machine-machine baharu juga nampak lebih menarik dan lebih banyak machine bersaiz besar yang ganas. Kita dapat lihat daripada teaser sebelum ini di mana Aloy menentang machine yang merupai seekor gajah iaitu Tremortusk serta machine ular tedung yang rakus dengan asid iaitu Slitherfang.

Machine kali ini bergerak dengan lebih pantas dan agresif dan pemain harus lebih pantas bertindak dan berfikir dengan bijak cara untuk mengalahkan machine-machine ini.

Tidak semua machine perlu dikalahkan, malah seperti sebelum ini anda juga boleh menjinakkan machine-machine ini dengan fungsi override.

Namun untuk mengaktifkan fungsi override machine ini, anda perlu terlebih dahulu meneroka setiap Cauldron untuk unlock fungsi override machine ini. Namun pada sekuel kali ini tidak menjanjikan semua machine dapat dinyahkuncikan dengan fungsi override secara serta merta setelah selesai misi di Cauldron. Ada sesetengah machine yang akan dilabel sebagai Partially Unlocked dan anda perlu mencari beberapa bahagian dari machine lain untuk nyakuncikan sepenuhnya machine-machine ini.

Lain daripada itu, fungsi mount juga masih ada dan kali ini anda mempunyai lebih banyak pilihan machine untuk ditunggang.

Lebih menarik lagi pada sekuel kali ini anda bukan sahaja dapat menunggang machine di darat malahan anda juga dapat menunggang machine yang terbang seperti Sunwing. Ini membolehkan anda terbang menyusuri langit dan bergerak dengan lebih bebas serta mengelak dari anasir machine darat yang lebih ganas.

Tunggang machine tidak mengapa, jangan tunggang agama.

Senjata dan naik taraf

Horizon Forbidden West menawarkan pelbagai senjata yang boleh digunakan untuk menumpaskan berpuluh-puluh mesin berbeza yang merayau dunia terbuka.

Sama ada dengan busur tradisional, atau senjata yang lebih mudah meletup seperti anduh, terdapat banyak pilihan untuk anda bersiap sedia melawan machine atau musuh. Kebanyakan senjata sudah terdapat dalam game sebelum ini seperti Spear, Hunter Bow, Ropecaster dan lain-lain.

Pembaharuan senjata yang paling ketara ialah pengenalan kepada senjata Spike Thrower dan juga Smoke Bomb. Spike Thrower bertindak seperti rejaman lembing yang meletup apabila mengenai sasaran manakala Smoke Bomb pula digunakan untuk memperdaya dan melarikan diri daripada musuh apabila dicampak ke tanah.

Selain senjata, elemen ammunition baharu juga diperkenalkan iaitu adhesive yang bertindak seperti gam yang melekit dan menyebabkan pergerakan musuh terbantut, acid yang mampu memberikan serangan berasid dan juga plasma.

Ketiadaan fungsi untuk menaik taraf senjata dalam Horizon Zero Dawn telah membuka mata Guerrilla untuk menambah fungsi untuk anda menaik taraf semua senjata yang ada anda dengan memperkenalkan kawasan Workbench.

Workbench merupakan salah satu fungsi baharu yang membolehkan anda untuk menaik taraf senjata, outfit dan pouch anda untuk menjadi lebih baik.

Setiap naik taraf memerlukan beberapa bahan atau bahagian machine yang anda perlu cari bagi membenarkan anda untuk menaik taraf senjata atau outfit yang anda inginkan.

Dengan adanya fungsi baharu ini, senjata yang berada di dalam kelas uncommon juga boleh dinaik taraf untuk menjadi satu senjata yang memberi damage yang banyak dan lebih berguna.

Seterusnya, kini anda tidak perlu risau apabila pouch anda penuh ketika mengutip bahan atau machine part. Hal ini kerana dengan adanya fungsi Stash, segala lebihan kutipan akan dimasukkan secara auto ke dalam Stash. Anda boleh mengakses Stash ini di mana-mana settlement.

Variasi aktiviti sampingan yang menarik

Di dunia Forbidden West, anda bukan sahaja meneroka Main Quest dan Side Quest sahaja, malahan terdapat banyak aktiviti lain yang ditawarkan di dalam sekuel kali ini.

Salah satunya ialah permainan Machine Strike yang persis permainan catur di dunia nyata.

Apa yang membezakan permainan ini dengan catur biasa ialah buah catur yang ditukarkan kepada machine-machine di dunia Horizon Forbidden West. Jika catur biasa mempunyai buah catur seperti bidak, raja atau kuda, di sudut permainan Machine Strike pula ianya ditukarkan kepada ukiran machine seperti Burrower, Ravenger atau Thunderjaw. Cara permainan juga lebih kurang sama seperti catur di mana machine-machine tersebut mempunyai langkah yang terhad dan serangan tersendiri.

Selain Machine Strike, anda juga boleh menguji kehebatan melee anda di Melee Pit di mana anda akan disajikan dengan cabaran di setiap Melee Pit yang berbeza.

Anda juga disarankan untuk menambah point skill tree untuk membolehkan anda menyahut cabaran yang disediakan di setiap Melee Pit. Di melee pit juga anda boleh membuat latihan melee dan belajar skill-skill serangan baharu.

Gauntlet Run juga merupakan salah satu aktiviti baharu yang diperkenalkan dalam Horizon Forbidden West. Aktiviti menarik dan mencabar ini membolehkan anda untuk berlumba menaiki machine Charger bersama AI yang lain sehingga ke garisan penamat. Apa yang menarik anda bukan sahaja berlumba, malah anda boleh sabotaj pencabar-pencabar anda sama ada dengan memanah mereka atau membuat serangan melee sambil menunggang machine Charger. Ini terasa seperti bermain Mario Kart tetapi yang berbezanya ialah anda menunggang Charger. Sangat menarik, lebih menarik jika mode ini dapat diperkenalkan sebagai mode Multiplayer.

Jika anda merasakan pertempuran bersama machine di lapangan terlalu mudah bagi anda, maka anda boleh cuba mengalahkan machine-machine ganas di gelanggang Arena.

Arena merupakan aktiviti menumbangkan dan mengalahkan machine di dalam gelanggang. Anda harus melepasi tahap demi tahap dan setiap tahap tersebut anda akan bertempur dengan machine yang berbeza, semakin tinggi tahap anda hadapi, semakin mencabar machine yang anda akan bertemu. Walaupun agak sukar namun pulangan bagi setiap tahap yang anda lepasi sangat berbaloi.

Sementara itu, aktiviti seperti Hunting Ground dan Rebel Camp juga kembali untuk memenuhi masa anda ketika menerokai dunia Forbidden West.

Variasi aktiviti ini sedikit sebanyak membantu anda dalam mengumpul skills point dan pada masa yang sama meningkat skill Aloy dalam menghadapi misi-misi yang mendatang.

Jadi, boleh beli atau boleh blah?

Intihanya, terlalu banyak yang berlaku di dalam game ini yang membuatkan penulis mahu menulis lebih banyak liputan mengenainya namun jumlah aksara tidak cukup untuk meluahkan segala pengalaman bermain game ini secara sebenar.

Penulis boleh katakan Horizon Forbidden West merupakan game yang wajib dibeli bukan setakat peminat siri Horizon sahaja, malahan mereka yang mempunyai konsol PS4 dan PS5 juga digalakkan untuk mencuba.

Horizon Forbidden West bukan sahaja menawarkan persembahan grafik yang memukau malahan terlalu banyak penambahbaikan dan naik taraf disumbatkan ke dalam sekuel kali ini yang membuatkan game ini menjadi lebih baik berbanding game pertamanya.

Kata-kata tidak dapat menggambarkan situasi sebenar, anda perlu cuba sendiri game ini jika berkemampuan.

Horizon Forbidden West sudah berada dalam kelasnya tersendiri dan adakah mungkin antara calon game terbaik untuk tahun ini? Jadi boleh beli atau boleh blah? Peminat setia sudah tentu akan membeli game ini tidak kira berapa harganya. Game ini boleh beli jika anda sedang mencari open-world game yang anda akan luang banyak masa bermainnya. Jika anda seorang Alpha Male dan tidak meminati karakter wanita sebagai peneraju utama sesebuah game maka game ini boleh blah untuk anda.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *