Review Dune: Awakening – Ketiadaan Lisan al-Gaib Buatkan Game Open-World Survival Ini Lebih Menarik

Danial Zuher

19/09/2026

Aku datang dari latar belakang yang tidak berapa mengenali francais Dune. Sebelum main game ini, pengetahuan aku pasal planet Arakis, Lisan al-Gaib, mahupun perebutan Spice memang agak suam-suam kuku.

Jadi, bila peluang untuk mencuba versi konsol PlayStation 5 bagi game Dune: Awakening ini sampai ke tangan aku, aku melangkah masuk ke dalam dunia gurun pasir ini secara ‘buta-buta’ tanpa sebarang jangkaan yang tinggi.

Selepas melaburkan puluhan jam mengembara di padang pasir yang amat berbahaya ini, game open-world survival terbitan Funcom ini ternyata memberikan satu pengalaman yang cukup berbeza. Walaupun genre survival selalunya dikaitkan dengan aktiviti memotong pokok di dalam hutan atau mengumpul kayu di pulau terpencil, Dune: Awakening membawakan keunikan tersendiri yang sangat menyegarkan.

Sejarah Alternatif: Dunia Tanpa Lisan al-Gaib

Satu perkara yang paling menarik perhatian aku mengenai storyline game ini adalah keberanian pembangunnya mengambil pendekatan ‘What If’ atau timeline alternatif. Kalau dalam novel asal atau adaptasi filem, watak Paul Atreides menjadi tokoh utama yang menggoncang seisi galaksi, dalam Dune: Awakening, watak Paul langsung tidak wujud. Lisan al-Gaib yang dinanti-nantikan itu tiada dalam alam ini.

Dalam timeline alternatif ini, Lady Jessica melahirkan seorang anak perempuan dan bukannya anak lelaki. Perubahan takdir ini menyebabkan pengkhianatan Dr. Wellington Yueh dapat dibongkar lebih awal.

Kesannya, House Atreides dan House Harkonnen yang sepatutnya berlawan bermati-matian kini terpaksa bekerjasama untuk melancarkan kempen perang terhadap puak Fremen dan Sardaukar. Di sinilah watak kita masuk sebagai seorang ejen rahsia yang menyusup ke dalam puak Fremen dengan misi misteri ‘Wake the Sleeper’.

Pendekatan cerita sebegini memberi kebebasan kreatif yang luas. Sebagai pemain, kita diberi kebebasan mencipta watak sendiri, memilih latar belakang asal usul yang mempengaruhi kebolehan awal, serta membuat keputusan dialog untuk menyebelahi mana-mana puak. Dari sudut naratif single-player, ia memberi satu alasan kukuh untuk kita meneroka lore Dune dengan cara yang tersendiri tanpa terikat tegar dengan jalan cerita asal.

Survival Padang Pasir: Darah Sebagai Sumber Air

Bila bercakap soal gameplay, elemen survival dalam game ini memang sangat menekankan aspek persekitaran. Berada di Arrakis bermakna matahari dan haba adalah musuh utama kita. Jika berdiri terlalu lama di bawah terik matahari, watak kita boleh terkena ‘sunstroke’ dan kehilangan nyawa secara berperingkat.

Apa yang paling mengagumkan aku adalah mekanik pengurusan airnya. Oleh sebab sumber air teramat rare di padang pasir, game ini memperkenalkan mesin pemprosesan air yang menggunakan darah manusia untuk ditapis menjadi air minuman. Ya, korang tak tersalah dengar.

Untuk bertahan hidup, kita boleh mengekstrak darah daripada musuh yang tumpas untuk diproses di tapak binaan rumah kita. Boleh sahaja kalau nak minum darah itu secara terus dalam keadaan mendesak, tetapi ada kesan sampingan yang mengurangkan nyawa. Mekanik yang agak gila dan dark ini sebenarnya sangat bertepatan dengan lore dunia Dune yang keras.

Selain pengurusan air, ancaman yang paling mendebarkan sudah pastinya cacing gergasi atau Sandworm. Apabila kita melintasi kawasan padang pasir terbuka, indikator gelombang pasir akan berbunyi. Jika kita gagal melarikan diri dan ditelan oleh Sandworm, semua peralatan serta barang yang dibawa akan hilang secara kekal tanpa peluang untuk mengambilnya semula.

Elemen risiko tinggi ini membuatkan setiap lintasan padang pasir terasa penuh saspens, terutamanya ketika kita cuba mengumpul rempah Spice yang sangat berharga.

Sistem Crafting Mendalam & Kenderaan

Bagi sesiapa yang menggemari budaya ‘hoarding’ atau mengumpul barang dalam game survival, Dune: Awakening akan membuatkan kita leka berjam-jam.

Sistem crafting game ini sangat komprehensif. Untuk membina sebuah kenderaan seperti Sandbike atau helikopter pepatung Ornithopter, kita tidak boleh hanya menekan satu butang dan siap. Kita perlu membina komponennya satu demi satu, daripada casis, enjin, unit bekalan kuasa, sehinggalah ke roda.

Malah, sistem pembinaan base juga sangat versatil. Developer menyediakan pelbagai peranti khas sama ada untuk menyalin rekaan, membina, mahupun memindahkan keseluruhan tapak pangkalan kita ke lokasi lain. Walaupun rumah yang aku bina sekadar cukup syarat untuk berteduh daripada ribut pasir, pemain yang kreatif pasti akan menghabiskan masa berhari-hari menghias dan memperkasakan kubu mereka.

Dari segi pertempuran, sistem pertempuran jarak dekat (melee) mendapat pujian daripada aku.

Penggunaan perisai tenaga (shield) dalam game ini direka dengan sangat bijak mengikut lore asal. Perisai ini akan sentiasa melindungi pemain daripada tembakan jarak jauh, tetapi ia akan terhenti seketika apabila kita melepaskan tembakan. Ini menggalakkan pemain untuk bergerak rapat dan menggunakan senjata jarak dekat seperti pedang untuk melakukan parry, dodge, atau serangan bertahan yang mampu menembusi perisai musuh secara serta-merta.

Grafik, Ribut Pasir Real-Time, & Prestasi

Secara visualnya, Arakis digambarkan dengan amat menakjubkan. Walaupun persekitarannya penuh dengan pasir dan gunung-ganang, dunia ini tidak terasa kosong.

Sentiasa ada kejadian random yang berlaku di latar belakang, seperti pertempuran kapal angkasa di udara atau serbuan skuad musuh yang turun dari kapal pada waktu malam ketika kita sedang sibuk membina rumah.

Salah satu ciri paling hebat adalah sistem ribut pasir real-time. Map in-game akan menunjukkan pergerakan awan ribut secara langsung, memberi amaran beberapa minit sebelum ia melanda kawasan kita. Melihat ribut pasir gergasi melintasi map dalam masa nyata memang memberi impak visual yang mengagumkan.

Walau bagaimanapun, fungsi rendering real-time ini datang dengan harganya yang tersendiri. Selepas bermain melebihi 8 jam berterusan, aku mendapati konsol mula mengalami masalah frame drop dan sedikit ‘stuttering’, terutamanya apabila kerap membuka menu yang kompleks semasa berada di kawasan yang luas.

Namun begitu, sepanjang aku main game ini, tiada sebarang isu crash yang terjadi.

Kesimpulan

Secara keseluruhannya, Dune: Awakening berjaya membuktikan bahawa sebuah game survival berasaskan lesen francais filem besar mampu berdiri teguh dengan identitinya sendiri.

Keputusan untuk menetapkan timeline alternatif memberikan nafas segar kepada jalan cerita, manakala sistem survival padang pasirnya memberikan cabaran yang cukup memuaskan.

Walaupun reka bentuk sesetengah kawasan pergunungan agak mengelirukan sehingga membuatkan aku kerap merujuk map, serta variasi musuh yang masih boleh dipertingkatkan lagi, kebebasan yang ditawarkan dalam game ini amat wajar dipuji.

Jika korang seorang peminat genre open-world survival yang mahukan latar suasana baharu selain hutan dan pulau, Dune: Awakening adalah satu naskhah yang sangat berbaloi untuk diterokai.

RATING JOMGAMING: 7/10

Leave a Comment