Sejarah Francais Game Max Payne – Kesakitan Maksimum Dari Finland

Danial Zuher

07/10/2026

Finland, negara yang ada lebih banyak sauna dari kereta. Tapi ia juga negara yang terkenal menghasilkan video game. Ultrakill, Cruelty Squad, Angry Birds dan Fear & Hunger adalah antara game yang dikeluarkan dari negara tu. Finland juga melahirkan beberapa game studio seperti Housemarquee yang terkenal dengan penghasilan game Returnal dan Saros.

Sebagai sebuah negara yang paling gembira di dunia, Finland banyak keluarkan game yang dark dan depressing. Macam game Max Payne dari Remedy Entertainment. Selepas Remedy keluarkan game pertama diaorang iaitu Death Rally pada tahun 1996. Mereka mahukan projek seterusnya sebuah game shooter dengan tema lebih matang dan psikologikal. Sebelum wujudnya nama Max Payne, Remedy gunakan nama prototaip seperti Dark Justice dan Max Heat.

Menurut penulis skrip dan juga model wajah Max Payne iaitu Sam Lake berkata inspirasi terbesarnya untuk game ni adalah dari filem Hard-Boiled arahan John Woo, elemen bullet time dari The Matrix dan mitologi Norse dalam penceritaannya.

Dengan Rockstar Games dan Gathering of Developers bersetuju untuk menjadi penerbit. Max Payne bersedia untuk dipasarkan ke seluruh dunia pada Julai 2001 untuk PS2, Xbox dan PC.

MAX PAYNE (2001)

Max Payne ialah sebuah game third person shooter fokus kat karakter Max Payne yang mahu mencari pembunuh isteri dan bayi anak perempuannya. Michelle dan Rose mati dalam kejadian pecah masuk rumah oleh tiga orang penagih dadah. Kejadian di mana Max gagal selamatkan mereka berdua.

Max percaya ketiga-tiga orang penagih dadah menggunakan dadah jenis Valkyr. Tiga tahun selepas kematian keluarganya, dia dipindahkan dari NYPD ke DEA untuk menjadi undercover, menyelinap masuk dalam keluarga jenayah Punchinello yang mengawal penyeludupan dadah Valkyr.

Namun, penyamarannya terbongkar apabila Max dituduh membunuh kawan baiknya, Alex Balder dalam pertemuan mereka di stesen subway. Dengan mukanya tersebar di seluruh New York. Pihak polis dan gangster kini sedang memburu Max Payne. Dia tiada pilihan lain selain tamatkan semua ni dengan buru setiap ahli penting keluarga Punchinello dan perlu mencari jalan untuk bersihkan namanya.

Cerita Max Payne banyak menggabungkan tema neo-noir dan psikologikal di mana Max walaupun seorang yang tak mudah mati. Dia sentiasa akan tenggelam dalam mindanya yang penuh dengan perasaan bersalah ke atas keluarganya. Benda ni pemain akan berulang-ulang kali lihat dalam babak mimpi ngeri Max.

Max yang sentiasa menaratifkan ceritanya seperti dia sedang melukis buku komik untuk diberikan kat pemain untuk dibaca. Dialog Max sentiasa serius tapi kadangkala diselitkan dengan dark humor yang bersahaja. Suara mendiang James McCaffrey sememangnya menghidupkan watak Max Payne sebagai seorang narator yang berbahaya.

Suara karakter-karakter lain juga tak mengecewakan dengan setiap seorang dari mereka ada personaliti berbeza dan menarik. Malah, setiap reka bentuk model watak dalam game ni diambil dari orang awam atau ahli keluarga rapat staf Remedy.

Pemilihan buku komik sebagai salah satu cara untuk menyampaikan cerita dan cutscene adalah cara Remedy untuk mengawal bajet penghasilan game. Kerana pada masa tu, Remedy hanyalah studio kecil yang tak ada bajet besar. Tapi pemilihan ini juga buatkan identiti game Max Payne tu lebih unik dan menarik.
Bullet time adalah mekanik paling penting dalam gameplay Max Payne. Pemain perlu sentiasa gunakannya kerana setiap peluru yang dilepaskan oleh musuh adalah projektil yang boleh dielak kalau pemain bergerak pantas. Aktifkan mekanik ni untuk perlahankan masa, untuk beri peluang kat pemain serang dulu sebelum musuh serang pemain.

Shoot dodge adalah satu lagi mekanik penting, Max boleh lompat atau dive dari pelbagai arah sambil menembak. Juga sangat berguna untuk mengelak tembakan musuh. Kelemahan shoot dodge bagi aku bila Max meniarap kat atas lantai lepas dia lompat, dia akan ambil beberapa saat untuk bangun balik, menyebabkan dia terdedah kat tembakan.

Kedua-dua mekanik ni dihadkan kepada meter jam pasir yang mana pemain perlu dapatkan lebih banyak kill untuk penuhkan balik meter tu.

Tak kira sama ada pemain main difficulty easy, normal atau hard. Max boleh mati sekelip mata, bergantung kepada jenis senjata yang musuh gunakan. Shotgun atau apa saja senjata automatik akan rendahkan bar nyawa lebih pantas dari pistol. Gunakan painkillers untuk pulihkan nyawa, tapi nyawa Max takkan pulih sepenuhnya, tapi secara perlahan-lahan mengikut berapa banyak painkiller digunakan.

Setiap senjata best digunakan, pertama kali aku main Max Payne kat PS2 dulu. Aku tak suka guna pump action shotgun kerana ia sangat berlawanan dengan mekanik Bullet time. Sebab masa dalam bullet time, Max ambil masa yang lama untuk pump peluru shell baru sebelum boleh tembak balik.

Lepas beberapa kali aku bereksperimen dengan masalah ni, cara terbaik untuk gunakan shotgun bersama bullet time adalah dengan aktifkan berkali-kali bullet time serentak bersama dengan tembakan. Aktifkan bila nak menembak, nyahaktifkan bila Max pump peluru shell baru. Lepas aku discover benda ni, barulah aku enjoy guna shotgun.

Semua benda yang aku sebut tadi menjadikan combat Max Payne best dan mencabar. Pemain masih boleh koreography action scene, tapi pemain perlu fikir dengan berstrategi setiap langkah dan tindakan sebelum masuk ke ruang combat. Sebab satu peluru separuh nyawa boleh hilang.

Nak lagi cabaran, boleh main difficulty Fugitive, difficulty ni akan kurangkan item painkillers dan AI musuh akan menjadi lebih agresif mengikut performance pemain.

MAX PAYNE 2 (2003)

Selepas Max Payne mendapat review yang positif, untuk sekuelnya, kali ni Remedy mendapat bajet yang lebih besar untuk hasilkan Max Payne 2: The Fall of Max Payne. Dikeluarkan pada Oktober 2003 untuk PS2, Xbox dan PC.

Tidak lagi gunakan orang awam atau kenalan rapat, Remedy gunakan para pelakon yang lebih mahir untuk model watak. Reka bentuk muka Max Payne tak lagi gunakan muka Sam Lake, sebaliknya gunakan pelakon profesional Timothy Gibbs. Namun, mendiang James McCaffrey kekal sebagai suara Max Payne.

Perbezaan paling ketara untuk sekuel ni adalah grafiknya, nampak lebih polished. Walaupun cutscene buku komik yang ikonik masih ada, tapi kali ni diseimbangkan dengan animated cutscene yang lebih cinematic. Setiap objek dan model karakter ada ragdoll fizik. Bagi aku game yang ada bullet time best bila digabungkan bersama ragdoll fizik dan environmental destruction. Contoh terbaik macam game Stranglehold.

Pergerakan Max juga kali lebih lancar dan kemas. Masalah kat game pertama di mana Max ambil masa beberapa saat untuk bangun semula selepas shoot dodge. Kali ni dia boleh terus menembak sambil baring dan pusingkan badan 360 darjah. Masalah kedua iaitu pump action shotgun rasa tak selari digunakan bersama bullet time, itu juga dibaiki dalam sekuel ni.

Cuma aku kurang gemar meter bullet time kali ni akan automatik refill dan tak perlu dapatkan kills untuk refill secara manual. Satu benda menarik yang Remedy tambah adalah cinematic 360 degree reload. Kalau pemain reload masa bullet time sedang aktif, Max akan lakukan spinning reload seakan-akan babak dari The Matrix.

Dari segi interactivity, kali ni lebih banyak dari game pertama. Objek seperti telefon, pemain boleh interact untuk dapatkan info tambahan yang menarik dan kadang-kadang bagi klu untuk apa akan jadi dalam cerita Max Payne.

Lagu tema ikonik Max Payne masih ada. Tapi kali ni ada lagu baru iaitu Late Goodbye yang dinyanyikan oleh Poets of the Fall, kumpulan rock band terkenal dari Finland. Selepas Max Payne 2, mereka turut menghasilkan lagu untuk game Alan Wake dan Control. Disebabkan game ni jugak la, aku jadi peminat band Poets of the Fall, lagu Late Goodbye tu memang kena dengan hubungan Max dan Mona.

Selepas 2 tahun kejadian dari game pertama, Max kembali bekerja di bawah NYPD. Selain dia masih rasa bersalah atas kematian keluarganya, kali ni dia terasa sunyi dengan ketiadaan orang tersayang. Semua bakal berubah apabila Max menerima panggilan ada berlaku kejadian tembak-menembak di sebuah gudang.

Max pergi ke sana dan lihat ada banyak simpanan senjata haram dan mayat-mayat tak dikenali yang dilakukan oleh kumpulan misteri dikenali sebagai The Cleaners. Namun, ada pihak ketiga ganggu urusan Max iaitu Mona Sax. Max terkejut lihat dia kerana spoiler alert Mona mati dalam game pertama.

Mona mahu membantu Max mencari siapa ketua kumpulan The Cleaners. Tapi Max berbelah-bahagi antara nak percayakan Mona atau tak. Kerana Mona dituduh membunuh senator dari kumpulan The Inner Circle, dan polis ada waran untuk tangkap dia.

Max berada dalam dilema tentang siapa yang dia patut percaya antara pihak polis, Mona atau kumpulan gangster Vlad. Tapi dia juga ada keinginan peribadinya di mana dia mahukan hubungan romantik dengan Mona. Peluang keduanya untuk merasai ada keluarga.

Kalau game pertama lebih ke arah fully hard-boiled cop action. Game kedua ni lebih kepada melodrama crime thriller yang masih ada aksi, tapi ada elemen misteri dan kesetiaan antara setiap watak. Tak lupa juga hubungan romantik tarik tali antara Max dan Mona. Itu yang menjadikan cerita Max Payne 2 menarik.

Ia mengambil masa 8 tahun untuk peminat Max Payne dapat game ketiga. Kerana dalam tahun-tahun tu ada banyak yang berlaku antara Remedy dan penerbitnya, Rockstar Games. Selepas Max Payne 2 keluar, IP Max Payne ni dijual kepada Rockstar atau Take-Two Interactive dengan nilai sebanyak $48 juta dollar pada tahun 2002.

Kenapa Remedy jual Max Payne? Pertama, mereka berpuas hati dengan penamat cerita Max Payne 2. Kedua, Remedy masih lagi sebuah studio kecil, jadi mereka perlukan kewangan yang kukuh untuk terus beroperasi. Ketiga, setelah lama fokus kat IP Max Payne, Remedy mahu move on ke projek baru seperti Alan Wake.

Rockstar ada tanggungjawab berat untuk bawakan nama Max Payne sebab selepas projek ni diumumkan oleh Take-Two pada tahun 2004. Ramai peminat agak skeptikal kenapa siri ni perlukan game ketiga kerana game kedua dah menutup tirai perjalanan cerita Max Payne.

Aku pun salah seorang yang skeptikal pasal projek ni bila Rockstar Studios kata Max Payne 3 akan berlaku di Sao Paulo, Brazil. Aku macam “Dah kenapa Max Payne pindah ke sana pulak?”

Sepatutnya game ni keluar pada tahun 2009, tapi macam biasalah, Rockstar pentingkan perfection dan projek ni kena delay beberapa kali untuk dapatkan kesempurnaan tu. Akhirnya, pada Mei 2012, Max Payne 3 dikeluarkan untuk PS3, Xbox 360 dan PC.

MAX PAYNE 3 (2012)

Objektif Rockstar untuk Max Payne 3 adalah untuk buka buku baru untuk Max. Cerita kali ni berlaku 9 tahun selepas game kedua, Max dah bersara dari NYPD. Hidupnya penuh dengan alkohol dan ketagihannya kat painkiller. Hidup yang penuh dengan penyesalan selepas dia kehilangan keluarga dan Mona.

Takdir menemukan dia dengan Raul Passo, yang mana dia pernah berlatih bersama Max kat akademi polis dulu. Raul tawarkan kat Max kerja sebagai pengawal keselamatan peribadi di Brazil. Pada mulanya, Max tolak tawaran Raul. Tapi selepas anak ketua mafia tampar muka wanita kat bar, Max tak teragak-agak untuk tembak dia. Ironinya, setiap masalah hidup Max bermula dengan kesakitan yang dialami oleh wanita.

Tindakannya menyebabkan Max dan Raul diburu oleh bapa kumpulan Mafia yang mahu menuntut balas atas kematian anaknya. Max tak ada pilihan lain selain ikut Raul lari dari New York ke Sao Paulo, Brazil.

Selepas beberapa bulan, Max bekerja sebagai pengawal peribadi keluarga Branco. Keluarga yang kaya dan berpengaruh. Namun, ada puak yang tak puas hati apabila seorang demi seorang ahli keluarga Branco diburu oleh kumpulan gangster misteri.

Max perlu lindungi mereka. Dalam masa yang sama, perlu membongkar misteri dan pengkhianatan yang berlaku di Sao Paulo, Brazil. Macam aku kata tadi, aku agak pelik kenapa Rockstar pilih Sao Paulo sebagai lokasi untuk game ketiga.

Tapi setelah lama aku main game ni, aku faham kenapa. Menurut Dan Houser, salah seorang penulis Max Payne 3. Dan mahu buka perjalanan baru dalam hidup Max Payne.
Kontras lokasi antara New York dan Brazil sangat berbeza. New York penuh dengan kawasan bandar yang gelap, bersalji, suram dan sunyi. Brazil pula banyak kawasan tropika, bising dan sinaran matahari sentiasa menerangi Sao Paulo. Dua lokasi ni juga bawakan dua mood yang berbeza untuk Max.

Bagi aku, Max Payne 3 ialah tentang penghijrahan Max. A journey of change. Hidup Max seperti tiada hala tuju dan dia masih tak dapat lupakan masa silam bila Max berada di New York.

Tapi bila dia berada di Brazil, Max terpaksa sesuaikan diri dengan budaya Sao Paulo, memandangkan orang tempatan kat sana tak cakap Bahasa Inggeris. Max terpaksa belajar benda-benda baru yang sangat asing baginya. Tapi perkara ni juga buatkan dia lupa masa silam dan hanya lihat ke hadapan.

Terutama sekali babak di mana dia cukur rambutnya sampai botak. Visual symbolism yang menandakan dia ialah Max Payne yang baru yang tidak lagi dibayangi oleh kisah lampaunya yang penuh dengan penyesalan.

Aku sangat gembira bila penamat cerita ni, Max tak lagi pakai baju trenchcoat yang gelap. Tapi pakai baju terang yang lebih santai dengan seluar pendek bersama cermin mata. Dia berjalan di tepi pantai menuju ke cahaya matahari. Memberikan happy ending kat Max di mana dia belajar untuk melepaskan masa silamnya.

Walaupun Max Payne 3 tak dihasilkan oleh Remedy, Rockstar menghormati IP ni dengan berikan penamat yang gembira kat Max setelah apa yang dia lalui selama ni.

Aku sebenarnya paling kagum dengan gameplay Max Payne 3. Rockstar banyak buat penambahbaikkan kat mekanik shooting. Kekurangan dalam dua game lepas adalah pergerakan Max agak terhad disebabkan oleh pergerakan kamera pemain. Tapi untuk game ketiga, Rockstar perkenalkan mekanik 360 degree movement.

Kalau Max gunakan pistol kat sebelah tangan saja, dia boleh bergerak sambil pusingkan badannya 360 darjah. Pusingan badannya tak ganggu kestabilan tembakan. Pergerakannya selari dengan crosshair menjadikan mekanik menembak lebih lancar.

Mekanik bullet time dan shoot dodge sangat cinematic dan stylo. Setiap butir peluru yang terbang pemain boleh nampak. Memandangkan kali ni ada efek seperti garisan udara putih kat peluru, pemain lebih mudah nak mengelak. Bila Max lompat keluar dari cover untuk lakukan shoot dodge, aku boleh rasa impak dia berada di udara.

Sama macam Max Payne 2, dia masih boleh tembak sambil baring dan pusingkan badannya selepas shoot dodge. Bezanya kali ni, pemain ada complete control bila Max nak bangun balik.

Bila Max Payne 3 ni perkenalkan cover system. Pada mulanya aku takut game ni akan jadi cover based shooter yang tipikal. Tapi aku gembira Max Payne tak ikut ke arah tu, aku masih boleh lakukan action koreograph macam 2 game lepas tanpa ada halangan dari cover system. Sebab cover system dalam game ni lebih kepada pemain berlindung kejap untuk gunakan painkiller atau tembak musuh untuk refill balik meter bullet time.

Satu lagi benda yang aku suka Rockstar implement dalam game ni adalah mekanik Last Stand. Jika pemain masih ada painkiller dan kena tembak, Max akan masuk fasa Last Stand di mana dia perlu tembak balik orang terakhir yang tembak dia. Kalau pemain gagal cari orang terakhir, barulah Max mati. Bagi aku, mekanik ni menggalakkan lagi pemain untuk lakukan action koreography.

Sistem senjata juga berbeza, tak seperti 2 game lepas di mana pemain boleh bawa semua senjata. Kali ni Max terhad kepada 3 senjata saja. 2 senjata one handed dan 1 senjata two handed. Gunakan pistol saja, sebelah lagi tangan Max akan pegang senjata besar seperti raifal atau shotgun. Kalau pemain nak gunakan 2 pistol akimbo, Max akan buang senjata raifal.
Sistem ni agak menarik sebab ia buatkan pemain kena fikir bila nak buang raifal atau bila nak gunakan dual wield pistol. Tapi imej Max pegang pistol sambil bawa raifal kat sebelah tangannya telah mencipta visual identiti khas untuk Max Payne 3.

Ragdoll fizik dan environmental destruction juga kembali dan kali ni ditambah lebih baik. Juga setiap luka tembakan kat tubuh badan pemain dapat lihat dengan jelas. Killcam juga lebih brutal dengan pemain boleh kawal kelajuan peluru dan boleh lepaskan tembakan berkali-kali kat musuh.

Aku tak suka dengan keputusan Rockstar untuk buang panel buku komik. Sebaliknya digantikan sepenuhnya dengan cinematic cutscene. Walaupun cutscene ada visual glitch menarik untuk menggambarkan sifat ketagihan Max kat alkohol dan painkiller.

Tapi ada sesetengah cutscene yang aku rasa agak draggy dan tak perlu ada. Macam scene karakter berjalan ke pintu keluar atau karakter ambil barang. Ini menjadikan Max Payne 3 lebih ke arah filem dari video game.

Sountrack dihasilkan oleh HEALTH sememangnya menggambarkan rasa hilang arah tuju Max dalam hidupnya. Lagu bertajuk TEARS dan FINALE kat mission lapangan terbang sangat memberi impak kat pemain dan Max. Pemain yang dah lama mengikuti perjalanan hidup watak ni. Dan Max bersedia untuk melepaskan semua yang masih terpendam.

Sebenarnya selepas Rockstar keluarkan Max Payne 3. Game ni dijadikan sebagai prototaip untuk game GTA5, terutamanya kat shooting mechanic yang hampir sama macam Max Payne 3.

Walaupun Remedy dah lama beralih ke IP baru seperti Alan Waken, Quantum Break dan Control. Sam Lake masih tak dapat lupakan Max Payne. Sebab tu Remedy berkerjasama dengan Rockstar untuk hasilkan versi remake Max Payne 1 & 2. Namun, release date masih belum ada. Cuma aku berharap, Remedy akan kekalkan shooting mechanic dari Max Payne 3 sebab Rockstar dah sempurnakan combat gameplay. Remedy hanya perlu tambah visual dan gaya penceritaan dari Sam Lake. Siri ni juga tak perlukan game baru kerana perjalanan hidup Max dah tamat. Jadi lebih baik biarkan dia berehat dan jangan ganggu dia.

Leave a Comment