Review Control Resonant – Pelik. Menarik. Cantik. Satu Lagi Calon Game Terbaik 2026!

Danial Zuher

05/10/2026

Control Resonant sememangnya salah satu game yang aku amat nantikan pada tahun ini.

Selepas kejayaan kejutan game pertama pada tahun 2019, Remedy Entertainment sekali lagi membuktikan bahawa mereka memang pakar dalam membina dunia misteri, pelik dan penuh dengan elemen paranormal.

Game sekuel ini bukan sekadar menyambung legasi yang ada, malah ia meletakkan penanda aras baharu bagi genre aksi sains fiksyen supernatural. Bagi aku, game ini memang cukup layak untuk tercalon sebagai antara game terbaik bagi tahun 2026.

Cerita Lebih Mendalam & Gelap

Kisah kali ini mengambil tempat selepas peristiwa huru-hara dalam bangunan Oldest House. Fokus cerita dialihkan daripada Jesse Faden kepada adiknya, Dylan Faden, yang kini terpaksa berdepan dengan ancaman baharu yang merentasi realiti.

Apa yang aku sangat suka tentang garapan cerita dalam judul baharu ini adalah keberanian penulinya membawa tema yang lebih berat, emosi dan penuh teka-teki.

Pengembaraan Dylan melalui kawasan New York yang telah dilipat dan dirosakkan oleh kuasa ghaib terasa sangat segar. Bandar ikonik itu kini berubah menjadi padang permainan paranormal yang kelihatan seperti gabungan babak filem Inception dan Doctor Strange.

Setiap fail dokumen, rakaman audio dan nota sampingan yang diletakkan dalam game ini memberikan maklumat latar belakang yang sangat mendalam, membuatkan aku ketagih untuk meneroka setiap sudut demi memahami apa sebenarnya yang sedang berlaku.

Perubahan Sistem Pertarungan Luar Biasa

Satu kejutan besar yang dibawakan oleh Remedy dalam Control Resonant adalah rombakan pada sistem combat. Jika dalam game pertama kita lebih banyak bergantung pada senjata api ghaib Service Weapon dan tembakan jarak jauh, kali ini fokus utama beralih kepada pertarungan jarak dekat atau melee combat yang digabungkan dengan kuasa telekinesis.

Dylan dibekalkan dengan kebolehan bertarung yang jauh lebih agresif dan dinamik. Pergerakan watak terasa sangat responsif, membolehkan aku melakukan gabungan serangan fizikal, melompat ke udara, membaling objek persekitaran dan mengelak serangan musuh secara lancar.

Ritma pertarungan terasa pantas, mencabar dan memberikan kepuasan yang tinggi setiap kali berjaya menumpaskan sekumpulan musuh yang mengganas. Walaupun ada sesetengah musuh terasa sedikit degil nyawanya pada peringkat awal, kawalan yang diperkemas membuatkan setiap pertempuran terasa hidup dan tidak membosankan.

Rekabentuk Dunia & Visual Menakjubkan

Dari sudut visual dan seni reka bentuk, game ini berada dalam kelasnya yang tersendiri.

Gaya estetik surrealist yang menjadi identiti Remedy diteruskan dengan lebih kreatif. Corak senibina yang bertukar bentuk secara real-time, pencahayaan dramatik serta kesan visual abstrak yang muncul semasa kuasa ghaib digunakan membuatkan mata aku tidak berhenti kagum.

Keputusan untuk membawa game ini keluar ke persekitaran open-world di New York adalah satu langkah berani yang menjadi. Bandar raya ini bukan sekadar kawasan biasa, tetapi ia dibentuk dengan pelbagai tahap laluan mendatar dan menegak yang sangat menyeronokkan untuk diterokai.

Remedy juga dengan sengaja tidak meletakkan petunjuk garisan warna kuning yang terlalu ketara seperti game moden lain, memaksa pemain untuk benar-benar mengamati persekitaran dan menikmati keindahan rekaan levelnya secara semula jadi.

Side Quest Penuh Kejutan

Selain cerita utama yang mantap, side quest dalam Control Resonant merupakan antara bahagian yang paling menyeronokkan.

Side quest di sini tidak terasa seperti tugasan mengulang yang membosankan. Sebaliknya, setiap misi menawarkan cerita pendek yang unik, pelik dan kadangkala melucukan.

Sebagai contoh, ada satu misi sampingan yang memerlukan aku menyiasat sebuah mesin karaoke ghaib yang menyebabkan pengunjung mati keletihan kerana tidak berhenti menyanyi.

Elemen penceritaan seperti inilah yang membuatkan dunia game ini terasa sangat bernyawa dan penuh dengan personaliti. Pemain sentiasa diberikan ganjaran dalam bentuk cerita menarik atau peralatan berguna setiap kali rajin meneroka kawasan luar daripada laluan utama.

Reka Bentuk Audio Yang Mengagumkan

Aspek audio juga memainkan peranan yang sangat besar dalam membina suasana misteri game ini.

Kesan bunyi persekitaran, daripada bisikan halus entiti ghaib hinggalah kepada bunyi dentuman kuasa telekinesis, semuanya dihasilkan dengan begitu teliti.

Penggunaan muzik latar yang tepat pada waktunya berjaya menaikkan tekanan sewaktu babak pertarungan sengit dan mewujudkan rasa sepi yang mendebarkan sewaktu meneroka kawasan kosong.

Babak gabungan audio dan visual dalam sesetengah level linear benar-benar menunjukkan tahap kepakaran Remedy yang sukar ditandingi oleh studio lain.

Kesimpulan

Kesimpulannya, Control Resonant adalah sebuah karya berkualiti yang berjaya mengambil risiko untuk berubah tanpa hilang identiti asalnya.

Walaupun terdapat sedikit kekurangan kecil dari segi bilangan combo ketika combat dan beberapa glitch yang boleh dimaafkan, gabungan penceritaan dan combat gameplay yang menyeronokkan telah mengangkat game ini ke tahap hampir sempurna.

Kalau korang merupakan peminat setia game keluaran Remedy atau pencinta game aksi sains fiksyen dengan penceritaan yang kuat, ini adalah game yang wajib korang mainkan pada tahun ini.

Control Resonant pelik, menarik, cantik, dan tanpa ragu-ragu merupakan salah satu calon terkuat untuk gelaran game terbaik tahun 2026.

Leave a Comment