Review The Blood of Dawnwalker – Konsep RPG Siang Malam Unik, Antara Game Terbaik Tahun Ini

Haris Yusak

03/10/2026

Kalau korang peminat tegar genre role-playing game atau RPG, terutamanya yang sukakan tema fantasi gelap dengan sentuhan vampire, nama studio Rebel Wolves pasti dah lama berada dalam radar korang.

Mana tidaknya, studio yang baru ditubuhkan ini dibentuk oleh bekas veteran CD Projekt Red yang pernah menjayakan karya agung The Witcher 3. Jadi bila projek sulung mereka iaitu The Blood of Dawnwalker akhirnya muncul di pasaran, jangkaan komuniti gaming sememangnya amat tinggi.

Selepas melabur puluhan jam menjelajah dunia fantasi kurun ke-14 yang seram dan penuh misteri ini, aku boleh katakan dengan jujur bahawa game ini memang mempunyai identiti tersendiri yang amat unik, walaupun terdapat beberapa kekurangan yang tidak boleh kita pejamkan mata begitu sahaja.

Konsep Siang & Malam Menjadi Nadi

Perkara paling menonjol dalam The Blood of Dawnwalker sudah tentu mekanisme siang dan malam yang terbina secara mendalam dalam sistem keseluruhan game ini.

Korang akan memainkan watak Coen, seorang pemuda yang malang apabila disumpah menjadi Dawnwalker, iaitu makhluk separuh manusia dan separuh vampire. Apa yang membuatkan gameplay game ini begitu segar adalah bagaimana bentuk fizikal serta kebolehan Coen berubah mengikut kitaran masa.

Bila matahari masih terpacak di langit, Coen berfungsi seperti manusia biasa. Dalam fasa siang ini, korang lebih bergantung kepada pertarungan berpedang, ilmu sihir elemental, serta penggunaan alatan taktik seperti bom atau minyak khas.

Namun apabila malam mula melabuhkan tirainya, sumpahan vampire Coen akan mula menguasai diri. Korang akan mendapat akses kepada kuasa luar biasa seperti kelajuan ekstrem, daya ketahanan tinggi, kebolehan melompat melepasi graviti biasa, serta serangan kuku tajam yang sangat menyakitkan. Perubahan sifat ini bukan sekadar gimik visual, sebaliknya memaksa korang merancang pergerakan dan gaya berdepan musuh mengikut waktu tertentu.

Sistem Masa 30 Hari & Tekanan Garis Masa

Selain kitaran siang malam, studio ini turut memperkenalkan sistem pengurusan masa dalam bentuk tempoh 30 hari untuk menyelesaikan misi utama korang, iaitu menyelamatkan ahli keluarga Coen. Pada awalnya, konsep pengehadan masa ini agak menakutkan ramai pemain sebab hampir setiap tindakan penting seperti memulakan misi utama, menyelesaikan tugasan sampingan, malah membuka peti tertentu akan memakan jam atau hari dalam game.

Namun begitu, selepas meneroka dengan lebih mendalam, korang akan perasan bahawa sistem masa ini sebenarnya tidaklah sekejam yang disangka.

Pemain biasa masih boleh berjalan-jalan dalam open-world atau bertarung dengan musuh biasa tanpa risau masa berjalan secara automatik. Masa hanya akan dipotong apabila korang memilih untuk memulakan quest atau melakukan tugasan khas. Malah, julat masa 30 hari itu agak teratur dan memberi ruang yang cukup luas untuk korang menyelesaikan kebanyakan quest penting sebelum hari terakhir.

Walaupun sesetengah pemain mungkin rasa tekanan masa ini mengurangkan kebebasan berjalan-jalan, ia berjaya menyuntik rasa cemas dan kepentingan moral terhadap setiap pilihan yang korang buat.

Jalan Cerita Berat & Pilihan Penuh Isu Moral

Bercakap mengenai penceritaan, sentuhan bekas penulis CD Projekt Red memang jelas terbukti dalam susunan plot game ini. Naratifnya ditulis dengan penuh kematangan dan tidak terikat dengan kiasan fantasi klise. Setiap watak utama mahupun watak sampingan mempunyai latar belakang yang kompleks, motivasi yang jelas, serta personaliti yang tidak sekadar berpandukan watak baik atau jahat semata-mata.

Watak seperti Lacra contohnya, memberikan impak yang sangat besar sepanjang perjalanan cerita dengan pendiriannya yang tegas dan penuh konflik. Pilihan jawapan atau keputusan yang korang buat dalam perbualan bukan sekadar perubahan dialog biasa, sebaliknya mampu mengubah hala tuju cerita, mempengaruhi nasib sesebuah kawasan, serta menentukan ending yang bakal korang terima.

Ketiadaan jawapan yang betul-betul putih atau hitam membuatkan korang sentiasa berfikir panjang sebelum membuat sebarang keputusan.

Sistem Pertarungan Ada Naik Turunnya

Dari segi pertarungan atau combat, The Blood of Dawnwalker menawarkan gabungan aksi mengikut arah serangan serta kebolehan magis yang agak menyeronokkan pada peringkat awal.

Rasa serangan berpedang pada waktu siang terasa cukup baik, manakala impak serangan ganas ala vampire pada waktu malam pula memberikan rasa kepuasan tersendiri bila korang dapat mencincang musuh dengan cepat.

Namun, di sinilah juga kelemahan utama game ini mula kelihatan selepas korang bermain untuk tempoh yang lama.

Mekanisme pertarungan rasa sedikit ketinggalan zaman jika dibandingkan dengan game RPG aksi moden yang lain. Kawalan kamera kadangkala terasa sedikit kekok terutamanya apabila korang bertarung di dalam kawasan yang sempit atau dikelilingi ramai musuh. Selain itu, sesetengah musuh kelas atasan mempunyai jumlah nyawa yang terlalu tebal, menyebabkan pertarungan berubah menjadi agak membosankan kerana korang hanya perlu mengulang corak serangan yang sama berulang kali.

Open World & Persembahan Visual

Dari sudut rekaan dunia dan atmosfera, studio Rebel Wolves berjaya membina sebuah dunia kurun ke-14 yang sangat hidup dan penuh misteri. Hutan rimba yang tebal, runtuhan bangunan lama, serta kawasan perkampungan kusam digambarkan dengan seni visual yang begitu cantik dan menyeramkan pada masa yang sama.

Kesan pencahayaan semasa matahari terbit dan terbenam turut memainkan peranan penting dalam mewujudkan suasana yang immersive.

Dari segi prestasi teknikal pula, pengalaman bermain boleh dikatakan agak berombak. Walaupun visual dan muzik latar dinyanyikan dengan sangat baik untuk membina mood gothic, game ini masih berdepan masalah pengoptimuman. Pemain mungkin akan menemui beberapa isu teknikal seperti tekstur lambat loading, pergerakan watak yang sesekali tersangkut pada persekitaran, serta masalah sedikit masalah controller sekali sekala.

Mujurlah kebanyakannya bukanlah isu yang game-breaking.

Kesimpulan

Secara keseluruhannya, The Blood of Dawnwalker ialah sebuah naskhah RPG dark fantasy yang sangat berani dan mempunyai jiwa tersendiri.

Sungguhpun terdapat kekurangan dari segi kelancaran sistem combat serta beberapa isu prestasi teknikal, kelebihan pada garapan jalan cerita, kebebasan membuat pilihan moral, serta keunikan sistem siang dan malam meletakkan game ini sebagai antara naskhah paling menarik untuk dimainkan tahun ini.

Bagi sesiapa yang merindui pengalaman RPG naratif yang mendalam dengan suasana vampire yang menggerunkan, game ini amat berbaloi untuk korang cuba.

RATING JOMGAMING: 9/10

Leave a Comment