Dragon’s Dogma 2: Dark Arisen – Expansion Yang Banyak Menambahbaik Base Game

Haris Yusak

07/11/2026

Selepas hampir dua tahun sejak pelancaran Dragon’s Dogma 2, Capcom kembali dengan kandungan tambahan yang membawa pemain ke sebuah pengembaraan baharu menerusi DLC Dark Arisen.

Kali ini, kita bukan sahaja diberikan kawasan baharu untuk diterokai, malah pelbagai cabaran, monster yang lebih ganas dan sistem loot yang memberikan sebab tambahan untuk terus memburu musuh.

Untuk review kali ini, aku berpeluang menghabiskan DLC ini dengan kira-kira 25 jam, dan secara keseluruhannya, pengalaman yang ditawarkan memang agak mengejutkan, terutamanya dari segi kandungan dan tahap kesukarannya.

Pengembaraan Baharu Memburu Fallen Dragon

Dark Arisen membawa pemain ke sebuah kawasan baharu bernama Norgan, sebuah wilayah bersalji yang mempunyai suasana jauh lebih gelap berbanding kawasan dalam base game. Ceritanya pula berkisar tentang usaha memburu Fallen Dragon yang menjadi ancaman kepada kawasan tersebut.

Sepanjang pengembaraan, pemain akan bertemu dengan seorang NPC bernama Eir yang meminta bantuan kita untuk memburu Fallen Dragon. Dari situ, sedikit demi sedikit kita akan mengetahui latar belakang Eir serta sebab sebenar dia begitu bersungguh-sungguh mahu mencari makhluk tersebut.

Aku tak nak cerita terlalu banyak tentang jalan ceritanya kerana ada beberapa perkara yang lebih menarik kalau korang alami sendiri. Cuma secara peribadi, aku memang berpuas hati dengan penceritaan yang ditawarkan. Ia memberikan satu lagi pengembaraan yang menarik untuk peminat siri Dragon’s Dogma.

Satu perkara yang perlu korang tahu, DLC ini boleh diakses tanpa perlu menghabiskan keseluruhan jalan cerita utama. Korang hanya perlu bertemu Captain Brant di kawasan bandar pada waktu malam untuk membuka akses kepada kandungan tersebut.

Walau bagaimanapun, aku sangat sarankan korang mempunyai karakter sekurang-kurangnya level 40 sebelum mencuba pengembaraan ini. Kalau masuk terlalu awal, memang boleh kena belasah dengan monster yang ada di sana.

Dunia Bersalji Dengan Monster Lebih Ganas

Salah satu tarikan utama Dark Arisen ialah kawasan Norgan yang mempunyai reka bentuk persekitaran berbeza daripada dunia asal.

Kalau sebelum ini kita banyak meneroka kawasan hijau yang dipenuhi tumbuh-tumbuhan, kali ini suasananya lebih suram dengan kawasan bersalji, bukit-bukau dan pelbagai gua bawah tanah.

Namun, jangan ingat cuaca sejuk sekadar hiasan. Ribut salji dalam DLC ini sebenarnya boleh menjadi satu masalah besar ketika meneroka. Apabila ribut melanda, penglihatan menjadi sangat terhad sehingga korang mungkin tak nampak laluan di hadapan. Kadangkala, tengah berjalan tiba-tiba dah terjatuh ke bawah kerana tak perasan ada jurang.

Lebih menyusahkan, cuaca sejuk turut menjejaskan stamina karakter. Kalau terlalu lama berada dalam ribut salji, had maksimum stamina akan semakin berkurangan. Jadi, korang perlu sentiasa mencari unggun api untuk memulihkan keadaan sebelum meneruskan perjalanan.

Dari satu sudut, sistem ini memang memberikan cabaran tambahan dan membuatkan pemain lebih berhati-hati ketika meneroka. Tetapi pada masa sama, ia boleh menjadi agak menjengkelkan, terutamanya apabila korang terpaksa kerap membuka map untuk memastikan laluan yang diambil betul.

Bukan itu sahaja, variasi monster yang ditawarkan juga memang menarik. Korang akan berhadapan dengan undead, goblin, troll, Yeti gergasi, Griffin dan sudah tentu naga yang menjadi antara musuh paling mencabar. Setiap pertembungan terasa lebih mendebarkan kerana kebanyakan monster mempunyai tahap kesukaran yang lebih tinggi.

Sistem Loot Baharu Buatkan Kita Ketagih

Antara penambahan paling menarik dalam Dark Arisen ialah sistem loot yang sedikit mengingatkan aku kepada Diablo. Monster tertentu boleh menjatuhkan senjata dan peralatan dengan tahap kelangkaan berbeza, daripada level satu sehingga level lima.

Apa yang menarik, korang tak akan terus mengetahui jenis sebenar barang yang diperoleh. Sebaliknya, ia hanya akan memaklumkan kategori barang tersebut. Untuk mengetahui senjata atau peralatan yang korang dapat, pemain perlu kembali ke kawasan pangkalan dan melakukan proses appraisal.

Sistem ini memberikan elemen kejutan setiap kali berjaya menewaskan monster yang kuat. Korang tak tahu sama ada barang yang dikutip itu akan menjadi senjata hebat atau sekadar peralatan biasa. Memang ada perasaan macam buka blind box setiap kali pulang daripada ekspedisi.

Lebih menarik, beberapa barang rare hanya boleh diperoleh daripada monster tertentu yang sememangnya bukan mudah untuk ditewaskan. Aku sendiri mengambil masa hampir 20 minit untuk mengalahkan seekor naga ketika pertemuan pertama. Masa itu karakter masih belum cukup kuat dan peralatan pun belum dioptimumkan sepenuhnya.

Satu lagi penambahbaikan yang aku suka ialah penggunaan Ferrystone untuk fast travel yang kini lebih mudah kerana pemain diberikan akses tanpa perlu terlalu risau tentang bekalan seperti sebelum ini.

Pawn Kini Lebih Hidup & Responsif

Sistem Pawn sememangnya antara identiti utama Dragon’s Dogma, dan dalam DLC ini, aku rasa interaksi mereka semakin menarik.

Pawn bukan sekadar mengikut pemain dan menyerang musuh. Mereka kini lebih aktif memberikan reaksi terhadap persekitaran, termasuk menunjukkan lokasi loot yang boleh dikutip. Kalau korang menggunakan Pawn daripada pemain lain yang sudah pernah menyelesaikan sesuatu quest, mereka juga boleh membantu menunjukkan jalan ke lokasi objektif.

Apa yang paling mengejutkan aku ialah apabila karakter terjatuh dari tempat tinggi, Pawn yang berada berdekatan boleh menangkap kita sebelum terhempas ke tanah. Perkara kecil seperti ini membuatkan mereka terasa lebih hidup.

Malah, apabila Pawn lain tumbang dalam pertempuran, ahli parti yang masih hidup boleh membawa mereka kembali kepada pemain untuk dihidupkan semula. Jadi, kita tak perlu bersusah payah mencari mereka di tengah-tengah kawasan pertempuran.

Bagi aku, perubahan seperti ini menjadikan sistem Pawn lebih menarik dan memberikan pengalaman pengembaraan yang terasa lebih dinamik.

Kandungan Banyak, Tetapi Ada Kekurangan

Dari segi jumlah kandungan, Dark Arisen memang agak memuaskan. Aku mengambil masa hampir 25 jam untuk menghabiskan jalan cerita utama sahaja. Itu belum termasuk pelbagai side quest yang boleh diperoleh daripada penduduk dan askar di kawasan Norgan.

Saiz map juga agak besar, walaupun mungkin tidak sebesar dunia dalam base game. Kawasannya mempunyai banyak laluan berbukit, cerun dan gua bawah tanah yang boleh diterokai. Memang sesuai untuk pemain yang suka mengembara sambil memburu item rare.

DLC ini turut memperkenalkan pilihan transmog yang membolehkan pemain mengubah gaya penampilan tanpa perlu mengorbankan stats yang tinggi. Satu penambahan kecil tetapi cukup berguna untuk pemain yang mementingkan penampilan karakter.

Dari segi prestasi pula, pengalaman aku agak positif. Sepanjang hampir 25 jam bermain, aku tidak mengalami sebarang crash, lag atau masalah yang mengganggu permainan. Visualnya juga cantik, terutamanya ketika pertempuran menentang naga dengan pelbagai kesan serangan yang dipaparkan.

Namun, bukan semuanya sempurna. Antara perkara yang sedikit mengecewakan aku ialah variasi kemahiran serangan untuk kelas Mage. Walaupun terdapat serangan berasaskan elemen seperti api, ais dan elektrik, pilihan variasinya terasa agak terhad. Kebanyakan serangan hanya mempunyai perbezaan dari segi skala atau kekuatan.

Aku mengharapkan lebih banyak variasi kemahiran selepas sekian lama menantikan kandungan baharu untuk Dragon’s Dogma. Walaupun terdapat beberapa kemahiran sokongan dan buff yang boleh digunakan, pilihan serangan Mage masih terasa agak sama seperti sebelumnya.

Berbaloi Ke Dengan Harga Yang Ditawarkan?

Untuk pemain yang sudah memiliki Dragon’s Dogma 2, harga DLC ini di Steam ketika review dibuat adalah sekitar RM109.90. Manakala pemain yang belum memiliki base game boleh mendapatkan kedua-duanya dalam satu pakej sekitar RM169.

Pada aku, RM109.90 untuk hampir 25 jam kandungan jalan cerita utama memang satu tawaran yang agak berbaloi. Tambahan pula, korang bukan sahaja mendapat pengembaraan Dark Arisen, tetapi juga akses kepada kandungan Lost Realm yang menawarkan 12 dungeon untuk diterokai, tertakluk kepada syarat tertentu dalam base game.

Kalau korang peminat Dragon’s Dogma dan merasakan base game terlalu mudah, DLC ini memang sesuai untuk dicuba. Tahap kesukarannya lebih tinggi, monster lebih ganas dan sistem loot baharu memberikan motivasi tambahan untuk terus bermain.

Kesimpulan

Secara keseluruhannya, Dark Arisen merupakan satu DLC yang berjaya memberikan pengalaman baharu kepada Dragon’s Dogma 2. Jalan cerita yang menarik, kawasan baharu yang mencabar, variasi monster yang mengagumkan serta sistem loot yang menyeronokkan menjadikan pengembaraan ini cukup berbaloi.

Walaupun variasi kemahiran serangan Mage agak terhad dan ribut salji kadangkala boleh mengganggu penerokaan, kekurangan tersebut tidak terlalu menjejaskan pengalaman keseluruhan.

Bagi aku, Capcom berjaya menghasilkan satu DLC yang bukan sekadar menambah beberapa jam kandungan, tetapi turut memberikan cabaran baharu yang membuatkan kita ingin terus bermain.

RATING JOMGAMING: 8/10

Leave a Comment