Review Castlevania: Belmont’s Curse – Bila Siri Lama Dimodenkan, Best Atau Hilang Identiti?

Adam Shoryu

01/11/2026

Selepas bertahun-tahun menyepi, akhirnya Konami membawa kembali salah satu francais paling ikonik dalam dunia gaming, Castlevania.

Kali ini menerusi Castlevania: Belmont’s Curse, sebuah game 2D action Metroidvania yang dibangunkan dengan kerjasama Evil Empire, studio di sebalik game popular Dead Cells.

Berlatarbelakangkan kota Paris, kira-kira 23 tahun selepas peristiwa Castlevania III: Dracula’s Curse, game ini membawa kita ke dalam satu lagi pengembaraan memburu makhluk-makhluk supernatural.

Kali ini, kita mengawal Rose Belmont, anak kepada Trevor Belmont dan Sypha Belnades, yang perlu berhadapan dengan ancaman baharu yang melanda Paris. Dan seperti yang boleh dijangka, nama Dracula sekali lagi menjadi sebahagian daripada kekacauan ini.

Sebagai sebuah francais yang mempunyai sejarah panjang, sudah tentu jangkaan peminat terhadap game ini agak tinggi. Persoalannya, adakah Belmont’s Curse berjaya mengembalikan kehebatan Castlevania, ataupun sekadar sebuah Metroidvania moden yang menggunakan nama besar francais tersebut?

Pengembaraan Klasik, Pendekatan Moden

Dari segi struktur gameplay, Belmont’s Curse masih mengekalkan formula Metroidvania yang cukup sinonim dengan genre ini. Kita akan meneroka map yang luas, membuka laluan baharu, mengumpul kebolehan tambahan dan kembali ke kawasan lama apabila sudah mempunyai kemampuan yang diperlukan.

Menariknya, pengembaraan kali ini tidak hanya tertumpu kepada istana Dracula. Sebaliknya, kita akan meneroka pelbagai lokasi di sekitar Paris, termasuk kawasan bawah tanah, perkuburan yang menyeramkan dan beberapa zon lain yang mempunyai identiti tersendiri.

Bagi peminat game seperti Hollow Knight, Metroid Dread, Blasphemous dan semestinya Dead Cells, struktur gameplay sebegini memang tidak asing lagi. Setiap kawasan mempunyai rahsia tersendiri, laluan tersembunyi dan pelbagai cabaran yang membuatkan kita sentiasa terdorong untuk meneruskan penerokaan.

Dari sudut penceritaan pula, aku rasa penyampaian ceritanya agak memuaskan. Walaupun jalan cerita boleh dijangka dalam beberapa bahagian, perjalanan Rose tetap menarik untuk diikuti sehingga ke penghujungnya. Game ini turut menyediakan tiga jenis pengakhiran bergantung kepada tindakan dan pencapaian pemain sepanjang game.

Combat Pantas, Agresif & Memuaskan

Bahagian paling menyeronokkan dalam Belmont’s Curse semestinya sistem combatnya. Pertarungan terasa pantas, agresif dan cukup responsif, dengan pelbagai jenis senjata yang boleh digunakan mengikut kesesuaian gaya permainan masing-masing.

Rose mempunyai akses kepada beberapa kategori senjata seperti sword, spear, fists, greatsword, sword and shield, dual swords serta senjata paling ikonik dalam sejarah Castlevania, iaitu whip. Setiap kategori mempunyai gaya serangan tersendiri dan boleh dinaik taraf sehingga empat tier.

Namun, perkara yang paling menarik perhatian aku sebenarnya ialah penggunaan whip. Selain berfungsi sebagai senjata utama, ia juga memainkan peranan besar dalam pergerakan dan penerokaan kawasan.

Kita boleh menggunakan whip untuk berayun, menarik diri ke platform tertentu, berpaut pada musuh dan bergerak pantas dari satu lokasi ke lokasi lain. Mekanik ini memang menyeronokkan, terutamanya apabila kita sudah mula menguasai pergerakannya. Ada kalanya aku rasa macam sedang mengawal seorang ninja pemburu vampire!

Cuma pada awal game, pergerakan Rose terasa sedikit perlahan dan kurang lincah. Ini kerana beberapa kebolehan pergerakan yang lebih menarik hanya boleh diperoleh selepas kita meneruskan pengembaraan.

Selain itu, Rose turut mempunyai Light Shield yang membolehkan pemain melakukan parry pada masa yang tepat. Serangan musuh yang berjaya diparry boleh dipantulkan semula kepada mereka. Walaupun mekanik ini berguna, aku merasakan impak dan kepuasannya tidaklah sehebat sistem parry dalam game bergenre Souls.

Terdapat juga sistem Arcana yang membolehkan Rose menggunakan serangan sihir jarak jauh. Menariknya, meter mana akan diisi semula apabila kita menyerang musuh. Ini menggalakkan pemain untuk terus bermain secara agresif dan tidak terlalu bergantung kepada strategi bertahan.

Exploration Luas, Progression Puas

Sebagai sebuah Metroidvania, exploration sememangnya menjadi nadi utama Belmont’s Curse. Map yang agak besar dan setiap kawasan mempunyai cabaran, boss serta rahsia tersendiri untuk ditemui.

Sepanjang perjalanan, kita akan menemui pelbagai laluan yang masih terkunci, platform yang tidak dapat dicapai dan dinding mencurigakan yang mungkin menyembunyikan sesuatu. Semua ini mendorong kita untuk kembali ke kawasan terdahulu selepas memperoleh kebolehan baharu.

Aku juga suka beberapa ciri quality-of-life yang disediakan. Antaranya kemampuan meletakkan marker di map, melihat peratusan kawasan yang sudah diterokai dan sistem fast travel menggunakan mirror untuk bergerak antara save room.

Cuma agak mengecewakan apabila sistem fast travel ini tidak diperkenalkan dengan jelas pada awal game. Untuk sebuah game yang memerlukan banyak backtracking, agak pelik apabila pemain mungkin hanya menyedari kewujudan fungsi tersebut selepas beberapa jam bermain.

Dari segi progression, Rose boleh meningkatkan level, menaik taraf senjata, mendapatkan Arcana baharu selepas menewaskan boss dan mengumpul relic yang memberikan pelbagai buff. Sesetengah relic juga mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri, seperti meningkatkan damage tetapi mengurangkan maximum health.

Sistem ini memberikan sedikit ruang untuk membina gaya permainan sendiri, walaupun kedalamannya tidaklah setanding sistem RPG dalam Castlevania klasik seperti Symphony of the Night.

Jangan Pandang Rendah Tahap Difficulty

Satu perkara yang aku rasa perlu diberi perhatian ialah tahap kesukaran Belmont’s Curse. Game ini bukan jenis yang akan memudahkan perjalanan pemain begitu sahaja.

Seawal game, musuh sudah mampu memberikan damage yang agak tinggi. Ada ketika save room terasa terlalu jauh, manakala pertarungan boss pula memerlukan kita memahami corak serangan mereka sebelum boleh menewaskannya.

Bagi aku, Belmont’s Curse antara pengalaman Castlevania yang agak mencabar. Learning curve-nya juga sedikit tinggi, terutamanya bagi pemain yang tidak biasa dengan game action platformer sebegini.

Namun, kesukarannya bukanlah sesuatu yang dirasakan tidak adil. Kita perlu belajar bila masa sesuai untuk mengelak, melakukan parry, menggunakan whip untuk mengubah kedudukan dan bila perlu kembali ke kawasan lama untuk mendapatkan upgrade.

Kalau korang rasa game ini terlalu mencabar, jangan risau kerana terdapat beberapa accessibility options yang boleh diubah. Pemain boleh mengurangkan damage yang diterima, meningkatkan EXP yang diperoleh dan menggunakan pilihan tertentu untuk mengelakkan mati. Malah, terdapat juga pilihan untuk respawn berhampiran pintu boss selepas tewas, sekali gus mengurangkan keperluan untuk mengulangi perjalanan yang panjang.

Aku suka pendekatan ini kerana ia membolehkan lebih ramai pemain menikmati game ini tanpa perlu terlalu terikat dengan tahap difficulty asal.

Visual Gothic Cantik, Tetapi Muzik Kurang Menonjol

Dari segi visual, aku memang suka art direction yang digunakan dalam Belmont’s Curse. Ia menampilkan gaya 2D moden dengan gabungan elemen hand-drawn dan 3D yang memberikan penampilan seakan anime gothic.

Kalau korang pernah menonton siri animasi Castlevania di Netflix, aku rasa korang boleh membayangkan identiti visual yang cuba dibawakan oleh game ini.

Kota Paris yang terbakar, seni bina klasik, makhluk supernatural dan reka bentuk boss yang menggerunkan semuanya berjaya membentuk suasana gothic yang cukup sesuai dengan identiti Castlevania.

Musuh klasik seperti Axe Knight dan Flying Skeleton juga kembali dengan reka bentuk baharu yang lebih moden. Penampilan mereka nampak lebih menggerunkan dan memberikan pengalaman berbeza berbanding penampilan asal.

Walau bagaimanapun, aku faham kalau ada peminat lama yang kurang menggemari gaya visual ini. Bagi sesetengah orang, pixel art daripada era Symphony of the Night atau GBA/DS Castlevania mempunyai identiti tersendiri yang sukar digantikan.

Audio pula agak bercampur-campur. Ada beberapa bahagian yang memberikan suasana menarik, tetapi secara keseluruhan, muziknya kurang meninggalkan impak berbanding soundtrack legenda daripada Castlevania IV, Rondo of Blood atau Symphony of the Night.

Bukan Tanpa Kekurangan

Walaupun aku menikmati kebanyakan aspek dalam game ini, Belmont’s Curse tetap mempunyai beberapa kelemahan.

Antara perkara yang mungkin mengecewakan peminat lama ialah ketiadaan sub-weapon klasik seperti Holy Water, Axe dan Cross. Sebaliknya, game ini menggunakan sistem Arcana yang lebih moden. Bagi aku, perubahan ini sedikit sebanyak menghilangkan sebahagian identiti tradisional Castlevania.

Selain itu, variasi musuh juga terasa agak terhad, terutamanya apabila semakin menghampiri bahagian lewat game. Terdapat beberapa musuh yang menggunakan reka bentuk asas sama dengan sedikit perubahan warna.

Sesetengah pertarungan boss pula terasa agak kelam-kabut, dengan telegraph serangan yang kadangkala kurang jelas. Aku turut mencuba game ini menggunakan GameNative dan mendapati prestasi FPS agak tidak konsisten.

Namun, untuk pengalaman aku di PC, kebanyakannya berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah besar.

Boleh Beli atau Boleh Blah?

Secara keseluruhan, aku rasa Castlevania: Belmont’s Curse merupakan satu langkah comeback yang cukup solid untuk francais ini.

Combat yang pantas, penggunaan whip yang menyeronokkan, map yang luas dan pertarungan boss yang mencabar menjadikan game ini sebuah Metroidvania moden yang sangat menarik untuk dimainkan.

Cuma, kalau korang merupakan peminat tegar Castlevania klasik yang mengharapkan pengalaman seperti Symphony of the Night, lengkap dengan sub-weapon tradisional, pixel art dan soundtrack gothic yang ikonik, korang mungkin perlu menyesuaikan sedikit expectation.

Belmont’s Curse lebih mengutamakan pendekatan action moden berbanding formula Castlevania tradisional. Ada beberapa identiti lama yang dikekalkan, tetapi pada masa sama, banyak perkara turut diberikan nafas baharu.

Bagi aku, perubahan ini bukanlah sesuatu yang buruk. Selepas sekian lama menantikan kemunculan semula francais ini, sekurang-kurangnya Konami berjaya membuktikan bahawa Castlevania masih mempunyai tempat dalam dunia gaming moden.

RATING JOMGAMING: 8/10

Leave a Comment