Review Call of Duty: Modern Warfare 4 – Mempersembahkan Cerita Yang Sangat Berani

Asyraaf Zakir

19/11/2026

Selepas dua tahun berturut-turut membawa pemain ke medan pertempuran Black Ops, tahun ini Activision kembali dengan siri Modern Warfare menerusi Call of Duty: Modern Warfare 4.

Siri yang cukup sinonim dengan aksi ketenteraan sinematik ini sekali lagi mempertaruhkan watak-watak ikonik seperti Captain Price, Ghost dan Task Force 141, kali ini dalam konflik yang jauh lebih besar.

Secara jujurnya, Modern Warfare 4 merupakan antara pengalaman Call of Duty yang paling menyeronokkan aku main sejak kebelakangan ini. Walaupun bukan semuanya sempurna, ada beberapa perkara yang membuatkan game ini terasa seperti kepulangan kepada identiti asal Modern Warfare.

Kempen Yang Terus Membawa Pemain Ke Medan Perang

Satu perkara yang aku suka tentang kempen Modern Warfare 4 ialah cara game ini terus membawa pemain ke tengah-tengah aksi tanpa membuang terlalu banyak masa. Dari awal game lagi, kita sudah disajikan dengan letupan, pertempuran sengit dan operasi ketenteraan yang membuatkan kita rasa seperti sedang menonton sebuah filem aksi Hollywood.

Kali ini, jalan ceritanya menyambung daripada peristiwa Modern Warfare 3 dengan konflik lebih besar melibatkan Korea Utara dan Korea Selatan. Selain operasi khas rahsia yang menjadi kebiasaan siri ini, pemain juga berpeluang merasai pertempuran berskala besar yang melibatkan tentera konvensional di medan perang.

Lebih menarik, kempen ini tidak hanya tertumpu kepada satu perspektif. Kita akan mengawal beberapa watak berbeza daripada pihak yang berlainan, termasuk anggota Task Force 141 dan askar Korea Utara. Perubahan perspektif ini memberikan variasi kepada pengalaman permainan dan membuatkan konflik yang berlaku terasa lebih menyeluruh.

Kalau dibandingkan dengan Modern Warfare 3, aku rasa kempen kali ini mempunyai identiti yang lebih jelas. Modern Warfare 3 agak banyak bergantung kepada open combat missions yang terasa seperti bermain multiplayer dalam peta besar dengan beberapa objektif.

Sebaliknya, Modern Warfare 4 lebih kembali kepada struktur kempen linear yang sinematik, lengkap dengan babak aksi yang gila, pertempuran jarak dekat dan set piece yang memang menghiburkan.

Watak Ikonik & Misi Menarik

Dari segi penceritaan, aku suka bagaimana game ini menggunakan watak-watak yang sudah dikenali pemain. Captain Price, Ghost dan anggota Task Force 141 tidak memerlukan pengenalan yang terlalu panjang kerana kita sudah mengikuti perjalanan mereka sejak beberapa game terdahulu.

Antara misi yang paling aku ingat ialah apabila pemain perlu mengawal Ghost dan Captain Price dalam misi yang sama. Pada satu bahagian, kita akan memburu Captain Price, tetapi kemudian perspektif bertukar dan kita pula mengawal Price yang sedang diburu oleh bekas rakan seperjuangannya.

Konsep ini mungkin bukan sesuatu yang baharu dalam industri gaming, tetapi ia merupakan pendekatan yang cukup menarik untuk siri Call of Duty. Kita dapat melihat konflik daripada kedua-dua belah pihak dan secara tidak langsung membuatkan pemain lebih terlibat dengan apa yang sedang berlaku.

Selain itu, aku juga suka bagaimana game ini membawa pemain ke dalam situasi pertempuran yang lebih bersifat kemanusiaan. Ada misi yang memerlukan kita berhati-hati ketika bertempur kerana terdapat orang awam di kawasan operasi. Tersalah tembak orang awam boleh menyebabkan misi gagal dan kita perlu mengulang semula checkpoint.

Memang agak menyakitkan hati apabila perkara ini berlaku, tetapi aku faham tujuan di sebalik reka bentuk tersebut. Ia memaksa pemain berfikir sebelum melepaskan tembakan, bukannya sekadar menembak apa sahaja yang bergerak.

Konflik Korea Utara & Korea Selatan

Bagi aku, penggunaan konflik Korea Utara dan Korea Selatan merupakan antara keputusan paling menarik dalam game ini. Konflik antara kedua-dua negara tersebut sudah lama wujud dan masih relevan sehingga hari ini, menjadikannya latar yang cukup sesuai untuk sebuah cerita perang moden.

Apa yang membuatkan pendekatan ini lebih menarik ialah peluang untuk melihat konflik daripada perspektif askar biasa. Kita bukan sentiasa menjadi anggota pasukan khas yang serba hebat. Ada ketika kita hanya mengawal seorang askar biasa yang perlu bertahan dalam pertempuran berskala besar.

Game ini turut memberikan beberapa pilihan moral dalam misi tertentu, walaupun kesannya tidak begitu besar terhadap keseluruhan jalan cerita.

Cuma, aku rasa pacing kempen ini agak terlalu laju. Ada beberapa bahagian yang aku harap diberikan lebih banyak masa untuk berkembang, terutamanya konflik antara Korea Utara dan Korea Selatan.

Penjahat utama yang dikenali sebagai The Archer juga terasa kurang dikembangkan. Kita tahu dia merupakan ancaman besar, tetapi latar belakang dan motivasinya tidak diterangkan dengan cukup mendalam.

Walaupun begitu, ending yang ditawarkan masih memuaskan. Ia bukan penamat paling hebat yang pernah aku saksikan dalam siri ini, tetapi cukup baik untuk menutup perjalanan kempen kali ini.

Multiplayer Lebih Perlahan Tapi Masih Seronok

Beralih kepada multiplayer, Modern Warfare 4 menawarkan pengalaman Call of Duty yang cukup familiar. Kita masih mempunyai mode seperti Team Deathmatch, objektif berpasukan dan pelbagai map klasik serta baharu.

Namun, perkara yang paling aku perasan ialah tempo gameplay yang sedikit berbeza. Jika dibandingkan dengan Black Ops 7 yang lebih pantas dengan pelbagai pergerakan akrobatik seperti wall jump dan bunny hopping, Modern Warfare 4 terasa lebih perlahan dan terkawal.

Time-to-kill juga terasa sedikit lebih panjang, jadi pemain perlu lebih tepat ketika menembak dan bijak memilih posisi. Kita tidak boleh sekadar berlari ke arah musuh tanpa memikirkan strategi.

Bagi aku, perubahan ini menjadikan multiplayer terasa lebih grounded tanpa menghilangkan identiti Call of Duty. Ia juga lebih mesra untuk pemain kasual yang hanya mahu masuk bermain selama dua atau tiga jam selepas pulang bekerja.

Satu mode yang aku paling suka ialah Kill Block. Mode ini mempunyai susunan map yang berubah-ubah melalui gabungan tiga bahagian peta yang dijana secara rawak. Hasilnya, setiap perlawanan boleh memberikan susun atur berbeza, menjadikan pengalaman bermain lebih segar.

Walaupun aku biasanya lebih gemar bermain Shipment 24/7, Kill Block berjaya menarik perhatian aku sehingga aku menghabiskan masa yang agak lama dengannya.

Secara keseluruhan, multiplayer kali ini tidak membawa terlalu banyak perubahan besar. Masalah klasik seperti pemain yang suka camping, rakan sepasukan yang tidak bermain objektif dan sistem spawn yang kadangkala menyakitkan hati masih wujud. Namun, aku tidak mempunyai sebarang rungutan besar terhadap pengalaman multiplayer kali ini.

Kesimpulan

Secara keseluruhan, Call of Duty: Modern Warfare 4 merupakan sebuah game yang berjaya memberikan pengalaman Call of Duty yang aku harapkan. Kempen utamanya memang menjadi tarikan terbesar dengan aksi sinematik, variasi misi dan jalan cerita yang cukup menarik untuk diikuti.

Multiplayer pula mungkin tidak menawarkan banyak pembaharuan, tetapi perubahan terhadap tempo gameplay dan kehadiran mode seperti Kill Block memberikan sedikit kelainan kepada pengalaman tahun ini.

Kalau ada satu perkara yang aku harap boleh diperbaiki, ia adalah pacing kempen dan pembangunan watak antagonis yang sepatutnya diberikan lebih banyak perhatian. Ada beberapa bahagian yang terasa terlalu tergesa-gesa, sedangkan potensinya cukup besar untuk menjadi lebih menarik.

Namun, kalau korang seorang peminat Call of Duty yang memang suka bermain single-player campaign, aku sangat rekomen Modern Warfare 4. Malah, bagi aku campaign game ini sahaja sudah cukup untuk menjadikannya berbaloi untuk dicuba, walaupun kalau korang tidak begitu berminat dengan multiplayer.

RATING STORY CAMPAIGN: 8.5/10

RATING MULTIPLAYER: 7/10

RATING KESELURUHAN: 8/10

Leave a Comment