Kalau sebut pasal game simulator, biasanya otak kita akan terus terbayang game buat kerja harian macam baiki kereta, kemas rumah, atau menguruskan pasar raya.
Tapi bila aku dapat tahu ada sebuah game simulator khas pasal trading card game (TCG) yang dibangunkan secara solo oleh anak tempatan bernama Ding Shen Sia, minat aku terus melonjak.
Siapa sangka, game tempatan ini bukan sahaja berjaya meraih perhatian global, malah sudah terjual lebih 3.5 juta unit ketika masih dalam Early Access. Kini, selepas rasmi dilancarkan dalam versi 1.0 pada 15 September 2026 dan melebarkan sayapnya ke PlayStation 5, Xbox Series, serta Nintendo Switch 1 dan 2, aku berpeluang menyelami sendiri pengalaman menjadi ‘tauke’ kedai kad. Jujur aku katakan, pengalaman bermain game ini sangat luar biasa dan berbaloi untuk disokong.
Apabila Impian Zaman Kanak-Kanak Menjadi Kenyataan
Bagi mana-mana peminat TCG, impian untuk mempunyai kedai kad sendiri memang wujud sejak kecil lagi.
Dulu sewaktu zaman sekolah, kita selalu tengok kawan-kawan yang ada duit lebih buka pek kad Pokémon. Mana yang dapat kad biasa–biasa terus dibuangnya, tapi bagi kita yang kurang berkemampuan masa itu, tengok mereka buka pek kad pun dah rasa satu keseronokan.
Apabila memainkan TCG Card Shop Simulator ini, ia seolah-olah mengembalikan nostalgia era tersebut tetapi kali ini dari perspektif seorang pemilik perniagaan.
Mekanik asas perniagaan dalam game ini sangat mudah difahami namun tetap mempunyai daya tarikan yang membuatkan kita melekat berjam-jam.
Bermula dengan modal beberapa ribu, tugas pertama kau adalah memesan stok kotak kad yang dipanggil Tetramon melalui telefon pintar dalam game. Stok yang sampai di hadapan kedai perlu diangkut, disusun rapi di dalam rak atau kabinet, dan kau juga perlu menyediakan meja khas untuk pengunjung datang bermain.
Pada peringkat awal, kau perlu buat semua benda seorang diri—daripada menjadi juruwang, menyusun stok, membersihkan kedai, sehinggalah menguruskan susun atur meja.
Memula Seorang, Kemudian Dah Ramai
Elemen yang paling membuatkan game ini ketagih adalah gabungan antara pengurusan perniagaan dan kepuasan membuka pek kad (pack opening). Sebagai pemilik kedai, kau berhak untuk mengambil mana-mana pek kad dari kabinet secara percuma untuk dibuka sendiri.
Perasaan mengoyak pek kad, walaupun dalam dunia maya, untuk mencari kad yang rare atau holografik memang memberikan kepuasan yang sukar digambarkan. Lebih-lebih lagi bila kau berjaya menarik kad bernilai tinggi seperti kad kategori “Ghost”.
Menariknya lagi, kad yang didapati boleh dihantar kepada pihak ketiga dalam game untuk grading. Kalau kad tersebut mendapat nilai skor gred yang tinggi, harganya boleh melonjak berlipat kali ganda.
Sebagai contoh, ada kad yang harga asalnya RM20,000 boleh melonjak sehingga RM30,000 selepas dinilai gred 10. Kau kemudian boleh mempamerkan kad tersebut di meja pameran khas untuk dijual kepada pelanggan.
Momen apabila melihat seorang pelanggan NPC masuk, mengadu harga mahal tetapi akhirnya tetap membeli kad tersebut sehingga akaun bank kedai kau bertambah puluhan ribu ringgit adalah antara detik yang paling memuaskan.
Butiran Kecil Yang Kelakar dan Menghiburkan
Salah satu keunikan yang menjadikan TCG Card Shop Simulator ini hidup adalah unsur humor serta butiran kecil yang diselitkan oleh pembangunnya.
Antaranya adalah kewujudan mekanik “bau badan” pelanggan. Kedai kau akan didatangi oleh pelbagai ragam pelanggan, dan sesetengah daripada mereka mempunyai aura hijau yang menandakan badan mereka berbau busuk.Jika bau ini dibiarkan, pelanggan lain akan memberikan review negatif terhadap kedai kau.
Pada peringkat awal, kau perlu menyembur pewangi secara manual ke arah pelanggan berbau tersebut, sebelum boleh menaik naik taraf kedai dengan memasang mesin penyembur automatik. Ini merupakan satu inside joke yang sangat relatable dalam kalangan komuniti gamer dan TCG.
Selain itu, sistem juruwang juga sangat teliti di mana ia menyokong pembayaran tunai dan kad debit. Menariknya, game ini turut menyediakan pilihan mata wang Ringgit Malaysia (MYR) lengkap dengan duit kertas tempatan!
Kau juga perlu berhati-hati dengan penetapan harga barang. Kau boleh menaikkan harga mengikut harga pasaran semasa, tetapi jika terlalu mahal pelanggan akan mengadu, manakala jika terlalu murah kau tidak akan dapat mengaut keuntungan untuk mengubah suai kedai.
Kesilapan-kesilapan kecil seperti terlupa membuka suis lampu kedai sehingga pelanggan beratur panjang dalam kegelapan turut menjadi antara momen mencuit hati sepanjang aku main game ini.
Kemaskini 1.0: Bertarung Kad Dalam Game Sendiri
Kalau dalam Early Access, game ini hanya menumpukan kepada simulasi pengurusan.
Pelancaran versi 1.0 telah membawa pembaharuan besar dengan memperkenalkan sistem permainan kad TCG itu sendiri. Kini, kau bukan sahaja boleh menjual kad, malah boleh mengumpul kad, membina deck sendiri di workbench, dan bertarung secara langsung dengan pelanggan yang datang ke kedai.
Sistem pertarungan kad Tetramon ini direka dengan mekanik yang agak ringkas tanpa memerlukan kad energy atau barangan rumit seperti sesetengah permainan TCG sebenar, namun ia tetap menawarkan tahap cabaran yang seimbang. Setiap perlawanan mengambil masa sekitar 3 hingga 10 minit bergantung kepada tahap kekuatan kad pihak lawan.
Apa yang menarik, kalau kau berjaya mengalahkan NPC, mereka akan memberikan pek kad percuma bernilai tinggi yang boleh dibuka atau dijual semula. Ciri ini menambah kepelbagaian aktiviti dalam game.
Kesimpulan: Jom Support Lokal
Dari segi penambahbaikan, masih ada ruang yang boleh ditingkatkan seperti menambah sistem pencabar kedai pesaing (competitor), scoreboard TCG, serta mekanik kad yang lebih mendalam pada masa akan datang.
Namun begitu, untuk sebuah game simulator yang dijual pada harga mampu milik iaitu sekitar RM40 di Steam, apa yang ditawarkan oleh TCG Card Shop Simulator adalah sangat berbaloi dan melebihi jangkaan.
Secara keseluruhannya, game ini wajar diberikan pujian tinggi. Ia bukan sahaja berjaya memenuhi impian peminat tegar TCG dan pengumpul kad, tetapi juga sesuai dimainkan oleh sesiapa sahaja yang mahukan game santai tetapi mempunyai elemen ketagihan yang tinggi.
Kerajinan pembangun tempatan ini yang sentiasa mendengar maklum balas komuniti di platform seperti Reddit dan Steam membuktikan bahawa industri pembangunan game tempatan mempunyai potensi yang sangat besar di persada antarabangsa.
Kalau korang mencari sebuah game tempatan yang berkualiti tinggi dan menyeronokkan, inilah game yang wajib ada dalam library game korang.
RATING JOMGAMING: 8/10