Review SPRAWL zero – Dah Lama Tak Rasa Gameplay First-Person Shooter Sepuas Ini

Danial Zuher

28/09/2026

Dah lama betul rasanya tak jumpa game aksi first-person shooter (FPS) yang betul-betul bagi kepuasan maksimum bila main.

Kebanyakan game zaman sekarang ni macam terlalu fokus dengan pelbagai elemen yang rumit, sampai hilang rasa seronok dengan gameplay shooting yang sebenar. Tapi bila dapat habiskan SPRAWL Zero, sebuah game indie boomer shooter retro keluaran MAETH dan diterbitkan oleh Kwalee, persepsi itu terus berubah.

Game ini merupakan prequel kepada game SPRAWL yang pernah keluar beberapa tahun lepas. Kalau dulu game pertama lebih fokus kepada pergerakan cepat macam gaya Unreal Tournament atau Quake dengan kebolehan lari di dinding dan parkour, kali ini pihak pembangun mengambil pendekatan yang lebih grounded.

Fokus utama mereka adalah untuk menangkap semula nostalgia era Y2K (awal tahun 2000-an), mengimbau kembali kehebatan game retro ikonik seperti F.E.A.R., Halo, dan Killzone. Hasilnya memang sebuah karya yang penuh dengan aksi yang padat, tempo permainan yang laju, dan atmosfera yang dark.

Dunia Dystopia Tanpa Watak Baik

Dari sudut penceritaan, SPRAWL Zero membawakan kisah watak utamanya yang dikenali sebagai Five, seorang super soldier yang berkhidmat untuk sebuah organisasi ketenteraan kuku besi atau Junta.

Misi asal Five kelihatan cukup mudah, iaitu memburu Silas, ketua kumpulan agama ekstremis bernama Imago Dei yang telah memasang senjata pemusnah besar-besaran di setiap ceruk bandar Spraw. Namun, di pertengahan jalan, konflik menjadi semakin rumit apabila Five dikhianati oleh organisasinya sendiri.

Apa yang membuatkan garisan cerita game ini menarik adalah ia tidak mengikut jalan klise seperti game lain. Apabila dikhianati, Five tidak berpakat dengan kumpulan Imago Dei. Sebaliknya, dia mengambil keputusan untuk membantai kedua-dua belah pihak sekali gus.

Dalam dunia ini, memang tiada watak baik. Junta ialah organisasi diktator yang kejam, Imago Dei ialah pengikut fanatik yang gila, manakala Five sendiri telah membunuh ramai orang awam demi menjayakan misinya.

Penceritaan melalui suasana bandar yang padat berinspirasikan Kowloon Walled City di Hong Kong dan kepingan dokumen dalam game sudah memadai untuk membuatkan pemain merasai kehancuran masyarakat Spraw.

Mechanics Yang Kreatif & Memuaskan

Kekuatan paling utama dalam SPRAWL Zero semestinya terletak pada aspek gameplay. Berbeza dengan game terdahulu, kebolehan parkour dan wall running telah dibuang dan digantikan dengan sistem kebolehan berasaskan kuasa.

Watak Five dibekalkan dengan tiga kebolehan utama iaitu Gravity Glove, Gravity Shield, dan Rush. Mekanik senjatanya juga sangat unik kerana tiada butang reload. Apabila peluru senjata habis, pemain perlu mencampaknya ke arah musuh untuk memberikan kerosakan tambahan atau membuangnya begitu sahaja.

Dari situ, pemain perlu menggunakan Gravity Glove untuk menarik senjata baharu yang berterbangan di udara atau merampasnya terus daripada tangan musuh.

Selain senjata, sarung tangan graviti ini membolehkan pemain menarik kotak, tong berasap, dan memecahkan sesetengah dinding konkrit. Situasi panik apabila peluru habis lalu terpaksa menarik senjata secara rawak di tengah-tengah pertempuran menghasilkan satu perasaan aksi yang sangat mengujakan.

Pertempuran Agresif & Elemen Kemusnahan Persekitaran

Sistem pertahanan dan pergerakan dalam game ini direka supaya pemain sentiasa bertindak agresif.

Kebolehan Gravity Shield membolehkan pemain menahan peluru musuh dan memantulkannya semula apabila cas penuh, sangat berguna untuk menentang dron dan helikopter musuh yang kerap hadir dalam jumlah yang ramai.

Manakala kebolehan Rush pula membenarkan watak meluru laju untuk menumbuk musuh berat yang mempunyai perisai tebal.

Game ini turut menyertakan kebolehan Bullet Time atau masa perlahan. Menariknya, ini merupakan satu-satunya cara untuk memulihkan nyawa watak. Musuh yang tumpas akan menjatuhkan item pemulihan yang mengisi semula bar nyawa dan meter kebolehan khas secara serentak.

Digabungkan dengan fizik ragdoll dan kemusnahan persekitaran yang responsif, setiap pertempuran terasa amat memuaskan. Dinding boleh pecah, habuk berterbangan, dan serakan peluru dalam bullet time betul-betul menterjemahkan kembali elemen terbaik yang pernah ada dalam game F.E.A.R.

Kepelbagaian Senjata & Musuh Yang Mencabar

Musuh AI dalam SPRAWL Zero diprogramkan dengan cukup bijak. Musuh kerap cuba mengepung pemain, membaling bom tangan, dan meluru menggunakan senjata api jarak dekat.

Mujurlah bom tangan yang dibaling musuh boleh ditangkap di udara menggunakan Gravity Glove dan dicampak semula ke arah mereka.

Variasi senjata yang ditawarkan juga mengalami peningkatan yang sangat ketara. Daripada hanya lapan jenis senjata dalam game terdahulu, SPRAWL Zero membawakan 30 jenis senjata berbeza yang dibagikan kepada lima gred keberkesanan.

Ada senjata senapang patah, roket, energy cannon, hingga ke pedang katana gred tertinggi yang mampu memantulkan peluru musuh secara automatik.

Reka bentuk senjatanya mengambil inspirasi daripada pelbagai francais sains fiksyen terkemuka. Kehadiran kotak senjata rawak dalam peta membuatkan pengalaman bermain sentiasa rasa baharu dan tidak membosankan.

Level Design & Replayability Tinggi

Untuk menghabiskan sekitar 11 hingga 12 babak dalam game ini, pemain purata memerlukan masa sekitar enam hingga lapan jam.

Misi pada awalnya agak terarah, namun bermula babak ketiga dan seterusnya, level desgin menjadi lebih terbuka. Pemain diberi kebebasan untuk memilih urutan objektif yang mahu diselesaikan terlebih dahulu.

Selepas tamat playthrough pertama, replayability game ini dikira agak tinggi. Kehadiran New Game Plus menukar kedudukan musuh secara rawak, menambah jenis musuh baharu, dan membenarkan pemain menggunakan pelbagai difficulty modifier yang diisi menggunakan barang koleksi khas.

Pemain juga digalakkan untuk mencuba pelbagai teknik pertempuran secara bebas tanpa panduan daripada tutorial, seperti menangkap roket sendiri untuk dihalakan ke sasaran lain atau menggunakan pergerakan jarak dekat untuk meningkatkan kelajuan projektil.

Muzik Latar & Sedikit Kekurangan Grafik

Satu lagi komponen yang patut dipuji ialah lagu latar belakangnya. Muzik elektronik bertempo pantas berinspirasikan karya Ghost in the Shell beroperasi dengan sangat harmoni mengikut rentak pertempuran.

Gabungan pencahayaan lampu neon merah yang berkelip-kelip serta dentuman muzik kelab malam membuatkan beberapa babak pertempuran terasa ikonik seperti babak aksi dalam filem John Wick.

Walau bagaimanapun, game ini tidak terlepas daripada beberapa kelemahan kecil. Isu prestasi seperti frame rate drop dan stuttering di sesetengah kawasan yang mempunyai pixels yang padat.

Selain itu, UI ketika pertempuran menentang bos juga agak mengelirukan dan memerlukan penambahbaikan daripada pihak pembangun melalui kemas kini pada masa akan datang.

Kesimpulan

Secara keseluruhannya, SPRAWL Zero berjaya membuktikan bahawa genre boomer shooter masih mempunyai tempat yang sangat istimewa dalam kalangan peminat game FPS.

Ketiadaan sistem pergerakan parkour yang rumit tidak sedikit pun merencatkan kualiti game ini, sebaliknya ia digantikan dengan sistem shooting yang memberikan kebebasan penuh kepada pemain untuk mengekspresikan gameplay sendiri.

Dengan harga jualan yang sangat berpatutan sekitar RM50 di Steam dan platform konsol seperti PlayStation 5 serta Nintendo Switch 2, ia merupakan satu pelaburan yang amat berbaloi untuk semua peminat action FPS.

Mengambil kira semua kelebihan dari segi combat, level design, dan muzik latar yang hebat, game ini wajar menerima pujian tinggi dan merupakan antara calon game indie terbaik untuk tahun ini.

RATING JOMGAMING: 9/10

Leave a Comment