Kembali ke dunia Ghost of Yotei
Selepas kejayaan Ghost of Yotei, pastinya ramai pemain mengharapkan Sucker Punch Productions akan menyediakan kandungan tambahan yang mampu memberikan satu lagi sebab untuk kembali ke dunia Ezo. Sama seperti Ghost of Tsushima yang menerima pengembangan Iki Island, kini Ghost of Yotei turut mendapat DLC tersendiri menerusi Echoes of Sekigahara.
Expansion ini hadir bersama beberapa kandungan baharu, termasuk kawasan Ashoro Foothills, jalan cerita tambahan yang berkait dengan masa silam Atsu serta battle mode baharu bernama Most Wanted. Secara keseluruhannya, ia menawarkan lebih banyak aktiviti untuk pemain yang masih belum puas meneroka dunia Ghost of Yotei.
Namun begitu, persoalannya adalah sama ada kandungan tambahan ini benar-benar memberikan pengalaman baharu yang cukup menarik, ataupun sekadar mengulang formula game asal?

Kisah Silam Kembali Menghantui
Echoes of Sekigahara membawa pemain kembali menyelami sejarah Atsu yang berlaku kira-kira tahun sebelum timeline game asal, khususnya peristiwa yang berlaku ketika Battle of Sekigahara. Pertempuran bersejarah yang menjadi titik penting dalam sejarah Jepun ini turut memainkan peranan dalam membentuk perjalanan hidup Atsu, termasuk hubungannya dengan seorang individu bernama Nagato.
Kehadiran Nagato menjadi antara fokus utama jalan cerita DLC ini. Dia merupakan seseorang yang pernah bertempur bersama Atsu ketika pertempuran tersebut, sekali gus membuka ruang untuk pemain mengenali satu lagi bahagian penting dalam sejarah watak utama kita.
Kisah tambahan ini turut membawa pemain berhadapan dengan kumpulan The Vipers, iaitu sebahagian daripada Yotei Six yang kehilangan pemimpin mereka selepas peristiwa dalam game asal. Tanpa kepimpinan yang jelas, kumpulan ini mula berpecah dan masing-masing cuba merebut kuasa.
Walaupun jalan cerita yang ditawarkan agak menarik, pendekatannya lebih tertumpu kepada mengimbas kembali peristiwa silam berbanding membawa naratif Atsu ke arah sesuatu yang benar-benar baharu. Malah, terdapat beberapa pendedahan penting mengenai latar belakang Atsu yang mungkin membuatkan pemain tertanya-tanya mengapa ia tidak dimasukkan dalam kempen utama sejak awal lagi.
Walau bagaimanapun, hubungan antara Atsu dan Nagato memberikan sedikit kelainan kepada penceritaan, menjadikan DLC ini lebih daripada sekadar side quest biasa.

Kawasan Baharu Menarik
Dari segi kawasan open-world, Ashoro Foothills merupakan tambahan yang cukup menarik. Kawasan ini mempunyai identiti tersendiri dengan gabungan pemandangan alam semula jadi yang cantik, kawasan hutan yang luas serta lokasi-lokasi suram yang menjadi tempat persembunyian The Vipers.
Seperti kawasan lain dalam game asal, Sucker Punch masih mengekalkan kekuatan mereka dalam menghasilkan persekitaran yang mempunyai keindahan visual tersendiri. Setiap sudut kawasan baharu ini terasa hidup dan memberikan kepuasan tersendiri ketika diterokai.
Pemain juga akan menemui beberapa aktiviti sampingan, misi bounty serta lokasi menarik untuk diterokai. Walaupun kandungannya tidaklah terlalu besar, kawasan ini masih mempunyai cukup banyak perkara untuk dilakukan.
Untuk melengkapkan keseluruhan kandungan kawasan baharu ini, pemain boleh menjangkakan sekitar lima hingga enam jam permainan, bergantung kepada cara masing-masing meneroka.

Penambahan Senjata & Variasi Pertempuran
Dari segi gameplay, Echoes of Sekigahara masih menggunakan sistem combat yang sama seperti game asal. Namun, terdapat beberapa penambahan kecil yang memberikan sedikit variasi kepada pengalaman bertempur.
Antaranya ialah senjata berat seperti tukul dan kapak besar yang boleh digunakan untuk menghasilkan serangan lebih kuat terhadap musuh. Walau bagaimanapun, senjata ini mempunyai ketahanan terhad dan akan hancur selepas digunakan untuk beberapa serangan.
Selain itu, Atsu turut mendapat akses kepada senjata baharu seperti bolas yang boleh dilemparkan untuk memerangkap pergerakan musuh buat sementara waktu. Ini memberikan peluang kepada pemain untuk melakukan serangan susulan tanpa perlu terlalu bergantung kepada serangan katana.
Malangnya, kebanyakan musuh yang ditemui masih menggunakan variasi daripada jenis musuh sedia ada. Begitu juga dengan pertarungan boss yang tidak menawarkan terlalu banyak kejutan baharu.
Jadi, walaupun penambahan ini dialu-alukan, jangan mengharapkan perubahan besar terhadap sistem combat Ghost of Yotei.

Most Wanted, Tambahan Paling Menyeronokkan
Jika Echoes of Sekigahara terasa seperti satu expansion kecil kepada jalan cerita utama, Most Wanted pula merupakan kandungan yang benar-benar memberikan sebab untuk pemain terus kembali bermain.
Mode ini menggunakan konsep roguelite yang memerlukan pemain menyelesaikan beberapa siri cabaran pertempuran secara berturut-turut. Setiap cabaran bermula dengan beberapa gelombang musuh sebelum pemain perlu berhadapan dengan mini boss dan akhirnya salah seorang daripada Yotei Six.
Apa yang menjadikan mode ini menarik ialah sistem pemilihan perk selepas setiap pusingan. Pemain akan diberikan tiga pilihan peningkatan secara rawak dan hanya boleh memilih satu untuk digunakan sepanjang sesi tersebut.
Pilihan ini boleh memberikan pelbagai kelebihan, termasuk peningkatan serangan, kebolehan tambahan serta kesan khas yang boleh mengubah cara pemain menghadapi musuh. Gabungan perk yang sesuai juga mampu menghasilkan gaya pertarungan yang cukup kuat.
Namun, cabaran sebenar ialah apabila pemain tewas, segala kemajuan dalam sesi tersebut akan hilang dan pemain perlu memulakan cabaran berkenaan dari awal.
Nasib baik, terdapat sistem progression kekal yang membolehkan pemain menggunakan mata wang yang dikumpulkan untuk membuka teknik, peningkatan senjata dan charm baharu. Malah, pemain juga boleh membuka beberapa watak tambahan seperti Oyuki, Nagato dan protagonis game pertama Ghost of Tsushima, Jin Sakai.
Kehadiran Jin Sakai sememangnya menjadi antara tarikan terbesar dalam mode ini. Lebih menarik, Sucker Punch turut mengekalkan gaya pertempuran asal Jin daripada Ghost of Tsushima, termasuk sistem empat stance katana yang cukup sinonim dengan watak tersebut.
Walaupun Most Wanted menggunakan semula beberapa lokasi dan boss daripada story utama, format cabaran berperingkat menjadikan setiap pertempuran terasa lebih mencabar. Pemain juga perlu lebih bijak menggunakan setiap senjata, peralatan dan kebolehan yang tersedia untuk bertahan.
Cuma, apabila berhadapan dengan terlalu ramai musuh pada satu masa, sistem sasaran serangan kadangkala boleh menjadi sedikit mengelirukan. Ada ketika Atsu akan menyerang musuh yang tidak sepatutnya menjadi sasaran, sekali gus menyebabkan pemain terdedah kepada serangan balas.
Namun, masalah ini tidak terlalu kerap berlaku sehingga menjejaskan keseluruhan pengalaman. Most Wanted masih merupakan mode yang sangat menyeronokkan, terutamanya bagi mereka yang memang gemarkan sistem combat Ghost of Yotei.

Kesimpulan
Secara keseluruhannya, Ghost of Yotei: Echoes of Sekigahara merupakan satu pengembangan yang berjaya memberikan lebih banyak kandungan kepada game asal, walaupun ia tidak membawa perubahan yang terlalu besar.
Jalan cerita tambahan mengenai masa silam Atsu bersama Nagato memberikan sedikit perspektif baharu terhadap watak utama, manakala kawasan Ashoro Foothills pula menawarkan satu lagi lokasi menarik untuk diterokai. Walaupun penambahan senjata dan jenis musuh baharu agak terhad, sistem pertempuran asal masih cukup menyeronokkan untuk membuatkan pemain terus menikmati setiap pertarungan.
Namun, tarikan paling kuat bagi keseluruhan expansion ini sebenarnya terletak pada mode Most Wanted. Konsep roguelite yang digunakan berjaya memberikan pengalaman berbeza kepada sistem pertempuran sedia ada, ditambah pula dengan peluang untuk bermain sebagai Jin Sakai.
Bagi aku, Echoes of Sekigahara mungkin bukan expansion yang wajib dimainkan oleh semua orang, terutamanya mereka yang sudah menghabiskan puluhan jam dalam game asal. Tetapi jika korang masih rindukan pengalaman menjadi Atsu dan ingin kembali menikmati dunia Ghost of Yotei, kandungan tambahan ini sememangnya berbaloi untuk dicuba.
Akhirnya, Echoes of Sekigahara mungkin tidak menawarkan sesuatu yang benar-benar baharu, tetapi ia berjaya mengingatkan kita mengapa Ghost of Yotei merupakan antara game aksi samurai yang begitu mengasyikkan.