Review ini disediakan bersama oleh Faiz Tobeng dan Kamil Geekz.
Insomniac Games gagal memasukkan roh Wolverine yang sepatutnya ke dalam game Marvel terbaru mereka.
Ya, dari segi gameplay, Marvel’s Wolverine sememangnya sebuah game yang menyeronokkan. Combat yang disajikan sangat memuaskan—penuh dengan terkaman yang buas, cakaran yang berbisa, dan libasan yang lincah. Dari segi combat, memang kita rasa benar-benar menjadi seorang Wolverine.
Namun, terhiburnya kita membenam musuh-musuh ke dalam tanah tidak mampu menyelamatkan game ini daripada pelbagai aspek lain yang begitu lemah. Jalan cerita terlalu one-dimensional, story terlampau pendek, perwatakan karakter tidak mengena, emosi tidak sampai, tiada side quest, kurang collectible, boss fight tidak kreatif, dan progression terlalu ringkas.
Kesimpulannya, combat yang puas dan buas telah dijinakkan dengan bermacam lompong yang tidak boleh dimaafkan.
Modus Operandi & Premis Cerita
Premis ceritanya bermula dengan Logan (Wolverine) yang merupakan salah seorang anggota Team X. Pasukan ini dinaungi oleh Nathaniel Essex dan turut dianggotai oleh karakter popular seperti Sabertooth dan Mystique. Misi utama mereka pada awal adalah untuk menjejaki Bolivar Trask—pelopor program Sentinel yang menjadi ancaman besar kepada mutan.
Namun, dalam usaha menjejaki Trask, timbul pelbagai konflik dalaman, konspirasi rahsia, dan plot twist yang menguji pasak moral Logan. Di sepanjang perjalanan ini, Logan bertembung serta bekerjasama rapat dengan Jean Grey. Hubungan mereka membawa dinamik love story bertepuk sebelah tangan yang memang sudah menjadi tradisi peminat tegar siri X-Men.
Satu fakta menarik yang disahkan oleh Insomniac Games: game ini berkongsi universe yang sama dengan siri Marvel’s Spider-Man keluaran mereka, iaitu Earth-1048. Walau bagaimanapun, jangan mengharap ada babak crossover atau penampilan Spidey di sini. Insomniac masih belum bersedia mencampurkan kedua-dua franchis tersebut dalam satu game.
Naratif One-Dimensional & Plot Hole Yang Menganggu
Kecewa. Itu perasaan paling tepat untuk menggambarkan kualiti penyampaian cerita Marvel’s Wolverine.
Penceritaan pada Act 1 dan Act 2 terasa sangat membosankan dan hambar. Garis panduan ceritanya terlalu lurus dan one-dimensional. Walaupun game ini menampilkan dua watak utama (Logan dan Jean Grey), naratifnya seolah-olah mengabaikan pembentukan watak-watak sampingan lain. Untuk sebuah game berstatus AAA yang sepatutnya mempunyai skala dunia yang besar, pembangunan karakter (character development) untuk watak lain langsung tidak diberikan ruang bernafas.
Akibatnya, kita sebagai pemain gagal membina sebarang ikatan emosi (emotional connection) dengan mana-mana watak. Lebih teruk lagi, wujud banyak plot hole yang ketara.
Sebagai contoh, terdapat satu senario di mana fasiliti atau lokasi utama diserang secara besar-besaran. Ketika konflik berlaku, karakter seperti Sabertooth dan Mystique yang sebelum itu bersama Logan tiba-tiba hilang tanpa sebarang penjelasan munasabah. Tiada babak yang menjelaskan ke mana mereka pergi atau apa yang sedang mereka lakukan. Mereka hilang begitu sahaja demi memberi ruang fokus kepada Jean dan Logan.
Situasi ini menjadikan penceritaan Act 1 dan Act 2 terasa amatur. Hanya apabila memasuki Act 3 (kemuncak cerita), tempo penceritaan mula melonjak naik dengan pelbagai ancaman bertubi-tubi. Malangnya, pertukaran pacing di saat akhir ini sudah terlambat untuk menyelamatkan struktur keseluruhan naratifnya.
Masalah Prequel Comic & Penjelasannya
Satu lagi isu yang melanda game ini adalah kebergantungannya kepada bahan luar. Rupa-rupanya, pihak Sony dan Insomniac melancarkan siri official prequel comic beberapa minggu sebelum game ini keluar untuk menjelaskan punca Logan meninggalkan Team X selama tiga tahun sebelum menyertai mereka semula.
Bagi pemain yang hanya membeli game tanpa membaca komik prequel tersebut, pergerakan plot dan tindakan Logan akan menimbulkan banyak tanda tanya. Sepatutnya, informasi penting sebegini disampaikan dalam game, bukannya dipaksa untuk dibaca menerusi media luar.
Watak Yang “Lari Roh” Dan Terlalu Lembut
Bukan sahaja jalan ceritanya kucar-kacir, malah perwatakan watak-watak ikonik X-Men di dalam game ini turut lari daripada identiti asal mereka di dalam komik mahupun siri animasi.
Wolverine (Logan): Wolverine di sini dibina dengan perwatakan yang jauh lebih “soft” dan mudah beremosi. Logan yang kita kenali menerusi komik atau lakonan Hugh Jackman adalah seorang pahlawan yang keras kepala dan sentiasa berada di garisan nipis antara anti-hero dan hero. Namun dalam game ini, Logan kelihatan terlalu cepat mengalah, mudah jatuh hati, dan cepat mempamerkan sisi sensitifnya. Penampilan fizikal Woverine juga kelihatan sedikit “jambu” dan flawless, tidak mencerminkan imej seorang mutan yang telah mengharungi bermacam peperangan selama ratusan tahun.
Mystique (Raven): Perwatakan Mystique jelas terkesan akibat pengaruh filem live-action versi Jennifer Lawrence. Mystique yang sepatutnya merupakan seorang penjahat licik, penuh muslihat, dan tidak boleh dipercayai, telah diubah menjadi watak yang sopan, ramah, dan menurut perintah. Dia bekerjasama dengan Logan seperti sebuah siri tv buddy-cop, bukannya mutan pemikir helah yang sentiasa mempunyai agenda tersembunyi.
Satu-satunya watak yang benar-benar memuaskan hati dari segi rekaan dan perwatakan ialah Sabertooth. Dia digambarkan sangat ganas, berbadan sasa, mementingkan diri sendiri, dan bersikap “pergi mampus” dengan apa yang berlaku di sekelilingnya—itulah roh villains X-Men yang sebenar.
‘Kempen 13 Jam’ Dengan Harga RM299: Berbaloi Ke?
Jika ada satu perkara yang bakal mencetuskan kemarahan komuniti pemain, ia adalah jangka hayat game ini.
Story campaign utama Marvel’s Wolverine hanya mengambil masa sekitar 12 hingga 13 jam sahaja untuk ditamatkan.
Sebagai perbandingan, game Marvel’s Spider-Man: Miles Morales—yang secara rasminya dijual sebagai standalone expansion pada harga lebih murah—mempunyai durasi sekitar 17 jam. Marvel’s Wolverine yang dijual pada harga penuh RM299 berasa seperti sebuah DLC atau expansion pack berskala kecil yang diletakkan tanda harga game AAA.
Selepas tamat kempen 13 jam tersebut, tiada apa-apa lagi yang boleh anda lakukan.
Tiada Side Quest: Tiada misi sampingan untuk meneroka latar belakang watak lain.
Tiada Exploration: Berbeza dengan siri Spider-Man yang mempunyai peta open-world, Wolverine ialah sebuah game yang sangat linear.
Replayability Sangat Rendah: Tiada mode atau aktiviti end-game yang membuatkan kita mahu memainkannya semula.
Koleksi Suit & Sistem Progression Yang Bosan
Game ini sememangnya menawarkan pelbagai variasi kostum ikonik Wolverine—daripada suit klasik animasi 90-an, suit filem Deadpool & Wolverine, hinggalah ke suit meme popular “pegang frame gambar”.
Namun, cara untuk unlock suit-suit ini amat membosankan. Tiada tugasan khas atau side quest mencabar. Kita hanya perlu terus memainkan main story sehingga tamat dan mengumpul material yang bertaburan di atas laluan linear.
Lebih menenggelamkan keseronokan, dalam tempoh 13 jam permainan tersebut, terdapat banyak babak di mana game ini memaksa anda menggunakan suit cerita mengikut situasi. Ini mengehadkan peluang pemain untuk menikmati suit kegemaran mereka.
Gameplay: Penyelamat Yang Memuaskan & Buas
Walaupun aspek penceritaan dan strukturnya bertaraf “suam-suam kuku”, sistem pertempuran (combat system) Marvel’s Wolverine harus dipuji. Di sinilah satu-satunya tempat di mana Insomniac Games berjaya menjiwai watak Wolverine dengan cemerlang.
Pertempuran Yang Agresif & Berdarah
Sistem combat game ini berpaksikan senjata kebanggaan Logan: Adamantium Claws. Sebaik sahaja kuku logam itu keluar, butang Square akan menjadi teman setia. Setiap tetakan, cakaran, dan libasan terasa sangat padu, kejam, dan penuh kepuasan. Darah memancut di skrin dan musuh dibenamkan ke dalam tanah tanpa belas kasihan.
Butang Triangle pula menjadi go-to untuk memulakan langkah henjutan pertama. Dari jarak jauh, Logan boleh menerkam musuh, menghempas mereka ke tanah, dan terus merentap anggota badan mereka.
Mekanik Parry & Taktikal Musuh
Pertempuran tidaklah semudah menekan satu butang secara membabi buta (button mashing). Apabila mara lebih jauh, musuh akan menyerang secara serentak dalam kumpulan yang ramai—minimum 5 hingga 6 orang dalam satu masa. Ada musuh jarak dekat, penembak jarak jauh, dan musuh bersaiz brute.
Mekanik Parry dalam game ini direka dengan sangat kemas. Walaupun anda sedang sibuk membantai musuh di hadapan, anda boleh menekan butang Parry secara refleks untuk menangkis serangan musuh di belakang, atau memantulkan semula peluru penembak jarak jauh tepat ke arah dada mereka.
Game ini turut memperkenalkan sistem Risk & Reward menerusi ketua gerombolan musuh. Selagi tidak membunuh ketua tersebut, musuh-musuh lain akan menyerang tanpa henti. Ini memaksa pemain berfikir secara taktikal: adakah mahu melangkah masuk ke tengah-tengah musuh demi menghapuskan ketuanya dahulu, atau menangkis serangan macai satu per satu?
Healing Factor, Rage Mode & Molten Claws
Sebagai mutan dengan kebolehan regenerasi, Logan mempunyai Health Bar dan Rage Bar yang terbahagi kepada 3 tier:
Jika Health Bar habis, Rage Bar tier 1 yang penuh akan digunakan secara automatik untuk memulihkan nyawa. Jika tidak berjaya memasuki tier 2, kita akan mati dan kembali ke checkpoint terakhir.
Apabila Rage Bar diisi sehingga tier 3, kita boleh mengaktifkan Rage Mode. Dalam mode ini, Logan boleh melancarkan instant execution skills untuk membunuh musuh serta-merta tanpa perlu melakukan combo yang panjang.
Menariknya lagi, jika anda bertempur berdekatan molten barrel (tong cecair panas), kuku Adamantium Logan boleh bertukar menjadi berapi (Molten Claws). Ini bukan sahaja memberikan kesan damage yang lebih tinggi, malah visual nyalaan apinya kelihatan amat mengagumkan.
Boss Fight & Elemen Set-Piece: Kurang Kreatif & Predictable
Walaupun pertempuran dengan musuh biasa terasa sangat meriah, kualiti pertarungan bos (boss fight) agak mengecewakan.
Pada peringkat awal, pertarungan menentang Omega Red memerlukan kesabaran, timing dodge, dan parry yang tepat. Namun, semakin jauh bermain, pertarungan bos menjadi semakin predictable dan tidak seimbang.
Kebanyakan bos mempunyai pergerakan (pattern) yang sama dari Fasa 1 hingga Fasa 3. Tiada perubahan combo yang drastik atau fasa gila yang membuatkan kita berasa cemas. Apa yang membezakan satu fasa dengan fasa seterusnya hanyalah cutscene yang diletakkan di antaranya.
Lebih menyakitkan hati, beberapa pertarungan bos akhir tidak memberi kepuasan kepada pemain untuk melakukan pukulan terakhir. Apabila nyawa bos sudah berada di paras nyawa-nyawa ikan, game ini secara tiba-tiba menghentikan pertempuran dan menamatkan bos tersebut menerusi cutscene. Ia membuatkan kita berasa seolah-olah kemenangan kita dirampas di saat akhir.
Quick Time Events (QTE) & Kenderaan
Satu aspek yang dikekalkan daripada siri Spider-Man ialah penggunaan Quick Time Event (QTE) dalam babak sinematik. Babak aksi seperti melompat ke atas helikopter atau mengejar kapal terbang direka dengan sangat dinamik dan mendebarkan.
Namun, babak pemanduan motosikal Logan terasa agak clunky dan kartun. Kawalan motosikalnya terlalu tegar, di mana merempuh kereta lain langsung tidak memberi sebarang impak ke atas kelajuan atau fizikal motosikal tersebut.
Rumusan & Rating Akhir
Marvel’s Wolverine tidak boleh dikategorikan sebagai game yang gagal sepenuhnya. Dari sudut mekanik pertempuran, Insomniac Games membuktikan bahawa mereka tahu bagaimana untuk menyampaikan sebuah aksi bertarung berkualiti tinggi yang penuh dengan kepuasan visual dan impak fizikal.
Namun, game ini tewas pada tiang utamanya sendiri. Jalan cerita yang hambar, durasi permainan yang terlampau singkat untuk harga RM299, tiada replayability, serta perwatakan watak yang lari daripada acuan asal menjadikan game ini terasa seperti sebuah expansion pack yang tergesa-gesa dikeluarkan.
Game ini lebih berfungsi sebagai satu “teaser” atau batu loncatan awal (stepping stone) bagi projek X-Men Universe yang dirancang oleh Sony dan Insomniac menjelang tahun 2030, bukannya sebuah game standalone Wolverine bertaraf masterpiece yang kita impikan selama ini.
Jika korang seorang peminat tegar aksi beat-’em-up yang tidak menghiraukan jalan cerita, anda mungkin akan terhibur dengan sistem combat game ini. Namun untuk harga RM299, ia sangat tidak berbaloi. Nasihat kami: tunggu sehingga game ini ditawarkan pada harga diskaun yang besar, atau tunggu sahaja ia masuk ke dalam katalog PS Plus pada masa akan datang.
RATING JOMGAMING: 6 / 10