Onimusha: Way of the Sword merupakan sebuah surat cinta kepada para peminat game action RPG Samurai.
Mengimbas kembali zaman kegemilangan siri ini pada era PlayStation 2 menerusi Onimusha: Dawn of Dreams tahun 2006, kemunculan semula francais gergasi terbitan Capcom ini sememangnya menjadi antara naskah yang paling ditunggu-tunggu oleh peminat veteran mahupun pemain baharu.
Ditawarkan di pelbagai platform utama seperti PC, PlayStation 5, Xbox Series, dan Nintendo Switch 2, game ini membawakan nafas baharu yang cukup menyegarkan buat peminat genre pertarungan pedang.
Game berlatarbelakangkan era Edo ini membawakan satu penceritaan yang baik, namun tiada apa yang begitu mengejutkan.
Berlatarkan zaman pemerintahan Tokugawa, kita akan mengawal watak Miyamoto Musashi, seorang pendekar muda yang sangat unik dan berbeza daripada karakter samurai tipikal. Jika kebanyakan samurai sering digambarkan dengan tatasusila yang anggun serta kod etika yang ketat, Musashi dalam game ini hadir dengan personaliti pemberontak yang bergantung kepada kekuatan kasar dan gaya bertarung yang tidak begitu elegan.
Wataknya digambarkan agak kurang beretika, kasar, dan penuh kesombongan pada awalnya. Selepas menemui ajalnya, dia diberi peluang kedua apabila menerima sebuah gauntlet sakti yang membolehkannya kembali ke bumi untuk membersihkannya daripada cengkaman makhluk ghaib bawah tanah yang dipanggil Genma.
Misi utama Musashi adalah menyerap roh Genma menerusi gauntlet miliknya serta memusnahkan keretakan dimensi atau rift bagi membebaskan kawasan yang terjejas. Dalam perjalanan penceritaan sepanjang 20 hingga 25 jam ini, korang akan bertembung dengan pelbagai musuh serta pemegang gauntlet lain yang masing-masing mempunyai agenda tersendiri.
Walaupun plot utamanya agak direct dan tidak mempunyai plot twist yang membuatkan kita terpana atau menitiskan air mata, perkembangan watak Musashi daripada seorang pendekar yang tidak matang kepada pemuda yang lebih tenang dan bijaksana dipaparkan dengan sangat berkesan. Di samping itu, interaksi bersama watak sampingan seperti Okuni turut memberikan sedikit sentuhan emosi di pertengahan pengembaraan.
Apa yang menjadi kekuatan sebenar game terbaru keluaran Capcom ini adalah combat gameplay yang sungguh mengasyikkan.
Sebagai sebuah game action RPG, Capcom benar-benar menyajikan mekanik pertarungan pedang yang sangat dinamik, responsif, dan memuaskan.
Walaupun ramai yang cuba membandingkannya dengan Sekiro, Onimusha mempunyai identitinya yang tersendiri. Sistem tangkisan atau parry dalam game ini terasa sangat padu, terutamanya apabila dentingan serta geseran bilah pedang kedengaran di telinga.
Setiap kali kita berjaya melakukan parry secara konsisten, bar khas iaitu Blazing State akan bertambah penuh. Apabila bar ini diaktifkan, pedang akan diselimuti api yang berupaya meruntuhkan stamina atau pertahanan musuh dengan cepat.
Melalui mechanics permainan pedang yang amat mendalam, setiap tusukan, libasan, hadangan, tepisan, dan gerakan mengelak terasa cukup memuaskan.
Kemuncak kepada kehebatan sistem pertarungan ini terletak pada teknik counter berisiko tinggi yang dipanggil Issen. Berbeza dengan parry biasa yang menghentikan serangan, Issen memerlukan kita menekan butang serangan pada saat akhir sebelum pedang musuh hinggap ke badan. Jika timing tepat, Musashi akan mengelak lalu melibas musuh secara serta-merta dengan gerakan slow motion yang amat bergaya.
Korban kepada kesilapan timing Issen ini memang tinggi dan boleh menyebabkan kita terbunuh berkali-kali, namun kepuasan apabila berjaya melaksanakannya secara berturut-turut pada segerombolan musuh memberikan satu perasaan bangga yang sukar digambarkan.
Kelebihan lain yang terdapat pada sistem pertarungan ini adalah kebolehan untuk melakukan parry atau Issen dari mana-mana arah tanpa perlu mengunci sasaran kamera pada musuh.
Selain kebolehan pedang utama, kita juga dibekalkan dengan pelbagai Oni Weapon tambahan yang boleh ditemui sepanjang pengembaraan.
Senjata seperti club, tombak taufan berapi, dan tongkat magis memberikan kelebihan taktikal yang pelbagai, terutamanya apabila berhadapan dengan kelompok musuh yang ramai atau ketika menentang boss. Walaupun pilihan pedang utama terhad, Capcom menyediakan pelbagai skin kosmetik untuk rupa bentuk pedang, baju armor, dan aksesori kepala yang boleh dibuka menerusi eksplorasi.
Setiap musuh, terutamanya boss fight menyajikan bermacam rencam pertarungan yang sangat unik.
Reka bentuk pertarungan boss dibina dengan peningkatan kesukaran yang sangat seimbang mengikut kemajuan skill dan kelengkapan.
Kebanyakan boss fight utama mempunyai dua fasa berbeza di mana corak pergerakan musuh akan bertukar menjadi jauh lebih pantas dan agresif pada fasa kedua. Sebagai contoh, pertarungan menentang musuh tradisi iaitu Ganryu akan bermula dengan agak mudah pada fasa awal, sebelum bertukar menjadi sangat mencabar apabila dia menukar rentak pergerakannya.
Selain itu, terdapat juga kebolehan untuk memecahkan bahagian anggota badan musuh seperti memotong ekor atau memecahkan topeng bagi menjejaskan keupayaan bertarung mereka.
Game ini turut menyediakan lokasi khas untuk mengulang semula pertarungan dengan boss yang telah dikalahkan demi mendapatkan kepuasan pertarungan yang sempurna.
Ditambah pula dengan lakonan suara bahasa Jepun yang mampu membuatkan kita meremang.
Walaupun game ini menyediakan pilihan alih suara bahasa Inggeris, lakonan suara bahasa Jepun memberikan mutu persembahan yang jauh lebih mendalam dan autentik. Barisan pelakon suara bagi watak-watak musuh dan penjahat utama memberikan penyampaian yang amat cemerlang menerusi nada ketawa sinis dan nada suara yang melahirkan suasana menyeramkan.
Setiap patah perkataan dan helaan nafas watak-watak ini berjaya menghidupkan atmosfera mistik era Edo dengan begitu berkesan sekali.
Dari segi penerokaan dunia, game ini menggabungkan konsep open-world berskala sederhana dengan laluan dungeon bawah tanah. Sungguhpun reka bentuk dunianya menarik, terdapat beberapa kekurangan kecil dari segi kawalan dan navigasi.
Ketiadaan fungsi mini map memaksa pemain kerap membuka skrin map utama secara manual.
Penetapan butang pengimbas kawasan yang bertindih dengan fungsi memanah juga kadangkala menyebabkan watak terpanah secara tidak sengaja.
Tambahan pula, penetapan butang lari pada butang L3 terasa agak kurang selesa ketika kita perlu mengejar musuh yang terbaring di atas tanah.
Walau bagaimanapun, isu-isu kawalan ini langsung tidak menjejaskan prestasi kelancaran game yang berjalan dengan sangat stabil bersama kualiti grafik serta babak sinematik pertarungan yang sangat memukau.
Tentunya menjadi salah satu pencabar utama untuk merangkul anugerah Game Terbaik tahun ini. Walaupun aspek penceritaannya berada pada tahap sederhana, kualiti sistem pertarungan dan level design yang begitu cemerlang sudah cukup untuk mengangkat naskah ini ke satu tahap yang sangat tinggi.
Kepada sesiapa yang telah lama merindui game pertarungan pedang yang mencabar atau mahu merasai kehangatan aksi samurai yang sebenar, Onimusha: Way of the Sword adalah sebuah karya wajib main yang berjaya menyalakan semula semangat tegar para gamer.
RATING JOMGAMING: 9/10