Grand Theft Auto atau GTA sememangnya sebuah game yang mempopularkan genre open world third person shooter. Sejak game ni dikeluarkan, banyak studio game lain turut menghasilkan game open world mengikut formula mereka tersendiri. Watch Dogs, Sleeping Dogs, Just Cause 3, Ghost of Tsushima dan Red Dead Redemption 2 ialah antara game-game terkenal dalam genre ni.
Setiap satu darinya mewakili tema berbeza seperti tema jenayah, tema wild west dan tema Samurai. Tapi studio-studio game ni masih belum terokai tema game open world Perang Dunia Kedua kecuali satu developer. Pada tahun 2009, Pandemic Studios telah keluarkan The Saboteur untuk PS3, Xbox 360 dan PC.
Berlatarbelakangkan di Perancis pada tahun 1940. Sean Devlin ialah seorang pelumba kereta yang sertai Grand Prix untuk mengalahkan Kurt Dierker. Tapi selepas kawan baiknya, Jules mati di tangan Dierker yang mendedahkan dirinya sebagai commander SS. Sean tak mampu selamatkan kawannya dan terpaksa larikan diri dan bersembunyi semasa tentera Nazi menakluki Perancis.
Tiga bulan kemudian, Luc Gaudin, ketua French Resistance berjumpa dengan Sean. Dia mahu menyakinkan Sean untuk sertai kumpulan tu. Pada mulanya Sean tak nak, tapi lepas Gaudin sebut nama Dierker, Sean tak nak sia-siakan peluangnya kerana nak balas dendam atas kematian Jules.
Bagi aku, ceritanya enjoyable, persaingan antara Sean dengan Dierker melangkaui trek perlumbaan. Setiap pertumpahan darah dan kerja-kerja sabotaj yang Sean lakukan dapat puaskan hati dia. Tapi bagi Dierker, ia buatkan kemarahannya semakin membuak. Watak-watak sampingan juga baik dan memenuhi peranan mereka. Cuma aku harapkan Dierker muncul dari semasa ke semasa untuk buatkan ketegangan konflik antara mereka berdua lagi bermakna.
Macam nama game ni, Sean ialah seorang pensabotaj, tugasnya letupkan segala infrastruktur milik pihak musuh macam menara sniper, AA gun, menara propaganda dan tangki petrol. Lagi banyak aku letupkan, aku akan dapat lebih banyak mata wang contraband yang boleh digunakan untuk beli senjata baru, ammo dan perks. Jadi dynamite kena sentiasa ada. Basically sistem dia sama macam game Just Cause.
Macam mana aku nak approach objektif tu terpulang kat aku sama nak gunakan stealth atau tembak terus pun boleh. Kalau stealth, aku boleh curi pakaian uniform musuh untuk menyamar dan masuk ke tempat musuh. Tapi aku hanya boleh curi uniform kalau aku lakukan stealth kill, lepaskan tembakan akan tinggalkan kesan darah kat uniform. Musuh akan detect aku lebih cepat kalau aku lakukan tindakan macam berlari, memanjat atau perbuatan lain yang mencurigakan.
Sebaik saja musuh dah dapat detect, bersiap sedia dengan ammo banyak sebab gunfight akan melibatkan aku seorang menentang gerombolan musuh yang datang tanpa henti. Jumlah musuh akan terus meningkat mengikut sistem alarm levels. Level alarm paling tinggi musuh akan hantar jet pejuang untuk buru aku. Tapi jangan risau sebab setiap kawasan ada tempat persembunyian yang boleh hilangkan alarm levels.
Setiap kawasan di Paris dibahagikan kepada beberapa zon. Kalau aku dapatkan musnahkan markas utama kat zon tu, kawasan zon akan berubah hitam putih ke berwarna menandakan zon tu berada dalam kawalan pasukan resistance. Nak explore kawasan Paris juga mudah, sama ada gunakan kenderaan atau aku boleh panjat dari bangunan lain ke bangunan lain.
Selain main quest, terdapat juga side quest yang aku boleh selesaikan. Apa yang aku suka pasal side quest The Saboteur ni, tak seperti sesetengah game open world sekarang di mana pemain hanya buat side quest sama ada untuk dapatkan item special, nak dapat skill points atau nak penuhkan meter experience points. Side quest dalam game ni fokus kat kembangkan world building story-nya. Dari side quest ni, kita sebagai pemain dapat tahu ada sesuatu yang lebih besar sedang berlaku dari sekadar perjuangan French Resistance.
Ya game ni ada sistem perk, tapi ia bukanlah sistem yang sangat diperlukan untuk pemain progress game ni. Tanpa perks pun, korang boleh habiskan game macam biasa. Dan setiap perks boleh di-unlock dengan mudah, tak ada sistem level up yang mengganggu pemain.
Kalau pasal third person shooter ni, satu benda yang aku tak suka adalah auto cover system. Aku tak suka bila aku tak diberi kawalan penuh semasa gameplay, dalam kes ni Sean akan automatik masuk ke cover mode kalau dia berdiri dekat dengan objek. Walaupun aku tak nak, tapi game paksa jugak. Patutnya gunakan saja tradisional cover system di mana ada butang khas untuk aku masuk ke cover mode secara manual.
Lakonan suara setiap karakter baik, tapi aku paling suka suara Sean Devlin, memandangkan dia orang Irish, personalitinya menyerlah dari watak-watak lain. Muzik bagi aku juga baik, semasa memandu, aku akan dengar lagu-lagu Jazz tahun 40-an dan lagu Bahasa Perancis. Kalau di luar kereta semasa combat, rentak muziknya aktif dan kadangkala misteri.
Walaupun tekstur grafik game ni menunjukkan zamannya. Bagi aku keunikkan The Saboteur ialah persekitarannya. Perbezaan antara kawasan hitam putih dan kawasan berwarna. Transition aku masuk ke dua kawasan berbeza ni sangat smooth. Kawasan hitam putihnya berikan vibe noir, persekitaran yang depressing di mana rakyat tempatan hidup dalam ketakutan di bawah kuasa rejim.
Tapi bila pemain dapat bebaskan kawasan tu. Perubahan dari hitam putih ke warna berikan sedikit harapan kepada rakyat tempatan. Membawa mesej pemberontakan, untuk turut sama membantu Sean dan French resistance, terus berjuang untuk bebaskan negara yang dah lama dijajah ni.
Sayang sekali The Saboteur ialah game terakhir dari Pandemic Studios. Studios ni tutup pada tahun 2009 disebabkan oleh syarikat EA yang telah membuang lebih dari 1,500 orang pekerja studio-studio di bawahnya termasuklah Pandemic. Aku tak lupa favorite game aku dari studio ni iaitu siri Mercenaries dan Star Wars: Battlefront. Terutama sekali Mercenaries 2: World of Flames yang banyak aku habiskan masa kat PS2 dulu.
Walaupun studio ni dah tak ada, The Saboteur menjadi legasi yang ditinggalkan yang ada peminatnya tersendiri. Dan ramai gamers memanggil game ni sebagai underated gem. Kalau korang minat game open world dan tema Perang Dunia Kedua. Korang boleh main The Saboteur.