Review STAR WARS Zero Company – Turn-Based Tactics Yang Berjaya Buat Kita Nak “One More Turn”

Adam Shoryu

14/09/2026

Bila mula-mula Electronic Arts (EA) umum pasal STAR WARS Zero Company, ramai peminat francais ini rasa agak pelik. Mana tidaknya, genre turn-based tactics bukanlah sesuatu yang mainstream sangat untuk Star Wars. Tapi bila kita dapat tahu ia dibangunkan oleh studio baharu Bit Reactor (yang ditubuhkan oleh veteran game taktikal dan strategi) bersama Respawn Entertainment, kitorang terus jadi teruja.

Selepas menghabiskan sekitar 30 jam lebih bergelut dengan taktikal di medan perang galaksi, game ini berjaya buat aku nak “one more turn” pada setiap malam.

Guardian of the Galaxy Versi Star Wars?

Timeline game ini berlangsung pada era Clone Wars. Secara umumnya, cerita bermula sekitar di antara Episod 1 dan Episod 2 (mainline movie Star Wars), hinggalah membawa ke kemuncak kemunculan Empire di Episod 3. Sebagai peminat animated series Clone Wars, susunan timeline macam ini memang rasa cukup fresh sebab kita boleh rasa perkembangan konflik galaksi dari perspektif askar bawahan.

Secara ringkasnya, kalau korang suka gabungan idea Guardians of the Galaxy, Mass Effect, dan mekanik XCOM, game ini memang dibuat khas untuk korang.

Kisah berpusat pada watak utama bernama Hawk yang boleh korang pilih jantina dan customize rupanya. Hawk ialah bekas tentera Republic yang diberhentikan secara kurang terhormat (dishonorably discharged) selepas pasukannya tumpas dalam satu misi. Dia kemudian mengumpulkan sekumpulan mercenary, “losers”, dan individu buangan untuk membina Zero Company.

Kelebihan & Kekurangan Jalan Cerita:

Kalau nak diberikan gred, jalan cerita utama boleh dikatakan gred B. Kalau diikutkan, premise plot utama dan penjahatnya (organisasi bernama Infinite Coilyang diketuai Kundri Fathom) agak cetek dan predictable.

Watak sampingan dan hubungan antara skuad pula agak cemerlang. Benda yang menyelamatkan game ini ialah dinamik antara ahli skuad. Interaksi antara teammates penuh dengan pergaduhan, dilema moral, dan politik dalaman. Kita perlu buat keputusan perbualan yang akan mempengaruhi reputasi kita dengan mereka. Silap langkah, ahli skuad boleh angkat kaki dan keluar dari Zero Company.

Selain itu, ada juga beberapa cameo menarik dari watak utama francais Star Wars seperti Anakin Skywalker, Captain Rex, hinggalah ke Trilla (Second Sister).

Pengurusan Base & Holo-Deck Taktikal

Gameplay Zero Company terbahagi kepada dua fasa utama: Pengurusan Base dan Combat.

Sebelum masuk ke medan perang, kita akan berada di kapal angkasa. Di meja Holodeck, kita perlu melakukan misi Recon. Fasa ini bukannya pertempuran, tapi lebih kepada membaca situasi taktikal. Contohnya, adakah wajar hantar seorang Mandalorian atau pakar hack Droid untuk selesaikan krisis politik tempatan?

Selain itu, kita perlu menguruskan ekonomi skuad. Kelakarnya, kita akan mulakan game ini dengan hutang sebanyak 80,000 credits dengan geng Hutt. Jadi korang akan rasa peritnya nak memikirkan sama ada nak upgrade MedBay, beli weapon mods dekat Black Market, atau bayar hutang.

Combat XCOM Versi Star Wars

Bila masuk ke bahagian Combat, peminat genre taktikal akan terasa cukup familiar. Level design direka penuh dengan variasi bertingkat (verticality), tempat berlindung (cover) yang boleh pecah, dan garisan serangan yang pelbagai.

Uniknya Skuad Kelas Star Wars:

Setiap ahli skuad mewakili kelas unik yang amat lore accurate.

  1. Mandalorian: Boleh guna jetpack untuk flank musuh dari belakang dan guna flamethrower. Sangat OP untuk misi rescue.
  2. Jedi Padawan: Guna lightsaber dan Force abilities, tapi ada latar belakang tragis kehilangan Master.
  3. Umbara Sniper: Pakar tembakan jarak jauh yang dendam dengan Clone Troopers.
  4. Clone Trooper (Trick): Askar klon “rosak” yang setia dengan Hawk.
  5. Support Droid: Boleh hack menara, scan kawasan, dan bagi buff.

Menariknya, apabila memasuki mid-game, kita akan diberi pilihan untuk membina Dual-Class / Sub-Class untuk setiap watak. Ini memberi variasi taktikal yang sangat mendalam bila berdepan dengan variasi musuh dari Droid, Coil mercenaries, hinggalah ke tentera Empire.

Kali Ini Lebih Konsisten

XCOM terkenal dengan mekanik terlepas peluang tembakan yang lebih tinggi. Zero Company lebih rasional dan adil. Korang ada banyak tactical tools (buff, debuff, skill kawasan) untuk memastikan serangan korang tak tersasar. Senang kata, ia mencabar tapi tak membuatkan korang rasa nak baling controller/keyboard.

Variasi Misi & Persembahan Audio-Visual

Variasi misinya amat memuaskan. Ia bukan sekadar “hapuskan semua musuh”, tapi merangkumi misi sabotage, letupkan bom, prison rescue, dan extraction di bawah kepungan musuh dari pelbagai sudut.

Dari segi grafik dan rekaan dunia, visual game ini memang cantik. Rekaan helmet Mandalorian, kilauan perisai Clone Trooper, serta rekaan persekitaran dibuat dengan cukup terperinci. Muziknya pula berjaya menangkap vibe ikonik Star Wars, terutamanya siri tv The Mandalorian.

Isu Teknikal & Prestasi

Perkara paling mengecewakan dalam game ini cuma satu: Isu Prestasi.

Semasa dimainkan di PC (Steam), game ini kerap mengalami masalah texture pop-in, stuttering, dan loading tekstur yang agak lambat bila berpindah babak. Walaupun tiada masalah crash yang teruk, ketidakstabilan Unreal Engine agak mengganggu pengalaman visual, terutamanya bila kita nak menikmati keindahan grafik dunia Star Wars.

Keputusan Akhir: Berbaloi Beli Ke Tak?

Game terbaru yang dibangunkan oleh Bit Reactor dan Respawn Entertainment ini mungkin ada main storyline yang biasa-biasa dan sedikit isu optimization.

Namun, keseronokan sistem pertempuran taktikalnya, pengurusan base yang mendalam, serta chemistry dan emosi sesama ahli skuad membuatkan game ini wajar diberikan perhatian oleh peminat Star Wars dan XCOM.

RATING JOMGAMING: 8.5/10

Leave a Comment