Bayangkan kau seorang askar legenda yang dahulunya menjadi simbol kekuatan, tetapi kini terpaksa berjuang melawan musuh dan tubuh sendiri yang semakin tua.
Inilah antara kisah yang menjadikan Metal Gear Solid begitu istimewa. Ia bukan sekadar game aksi dan penyusupan, tetapi juga sebuah perjalanan penuh emosi tentang pengorbanan, peperangan dan harga yang perlu dibayar oleh seorang askar.
Selepas sekian lama terikat dengan platform lama, Metal Gear Solid 4: Guns of the Patriots akhirnya kembali menerusi Metal Gear Solid: Master Collection Vol. 2, bersama Metal Gear Solid: Peace Walker dan Metal Gear Solid: Ghost Babel. Koleksi ini memberikan peluang kepada generasi baharu untuk menikmati game yang sebelum ini sukar diakses.
Namun, persoalannya, adakah koleksi ini benar-benar berbaloi untuk dibeli atau sekadar menjual nostalgia kepada peminat lama? Jom kita tengok apa yang ditawarkan oleh setiap game.
Metal Gear Solid 4: Guns of the Patriots, Penutup Epik Solid Snake
Bagi aku, Metal Gear Solid 4 merupakan tarikan utama koleksi ini. Dilancarkan pada tahun 2008, game ini menjadi penutup kepada perjalanan Solid Snake, seorang askar legenda yang semakin dimamah usia dan perlu menghadapi misi terakhirnya.
Dari segi penceritaan, MGS4 memang cukup bercita-cita tinggi. Ia mengangkat tema patriotisme, peperangan moden, kawalan kecerdasan buatan (AI) dan pengorbanan seorang askar. Naratifnya penuh dengan konflik, pendedahan mengejutkan dan babak emosional yang memberikan penamat bermakna kepada saga Solid Snake.
Walau bagaimanapun, cara game ini menyampaikan cerita mungkin tidak sesuai untuk semua orang. MGS4 terkenal dengan cutscene yang panjang, malah ada bahagian yang boleh mengambil masa sekitar 20 hingga 30 minit tanpa memberikan kawalan kepada pemain. Kadangkala, terasa seperti kita sedang menonton filem berbanding bermain game.
Dari segi gameplay, mekanik stealth, peralatan taktikal dan kebebasan memilih pendekatan masih menyeronokkan. Pemain boleh bergerak secara senyap atau menggunakan pelbagai peralatan untuk mengatasi musuh. Cuma, AI musuh kadangkala terasa ketinggalan zaman berbanding game moden.
Apa yang paling menarik ialah peluang menikmati MGS4 di platform yang lebih baharu. Dengan sokongan resolusi sehingga 4K dan sasaran 60 FPS, game ini mendapat peningkatan yang bermakna berbanding versi asal PS3. Waktu loading yang lebih singkat juga membantu memberikan pengalaman yang lebih selesa.
Bagi pemain yang tidak pernah main game ini di PS3, inilah peluang terbaik untuk menikmati salah satu bab terpenting dalam sejarah Metal Gear Solid.
Metal Gear Solid: Peace Walker, Bukan Sekadar Game Stealth
Kalau MGS4 lebih menumpukan drama dan penamat perjalanan Solid Snake, Metal Gear Solid: Peace Walker pula menawarkan pengalaman yang lebih berasaskan operasi ketenteraan. Pada asalnya dilancarkan untuk PSP, game ini menjadi penghubung penting antara Metal Gear Solid 3 dengan Metal Gear Solid V.
Dalam game ini, pemain mengawal Big Boss ketika dia membangunkan pasukan tentera upahan sendiri. Konsep tersebut menjadi asas kepada Mother Base yang memainkan peranan penting dalam Metal Gear Solid V.
Kekuatan utama Peace Walker terletak pada sistem misi dan pengurusan pasukannya. Selain menyelesaikan misi, pemain boleh merekrut anggota baharu, mengumpulkan sumber, membangunkan senjata dan memperkukuh organisasi tentera sendiri. Terdapat juga sistem hubungan antara watak yang boleh memberikan bonus tertentu.
Gabungan semua mekanik ini menjadikan Peace Walker lebih daripada sekadar game stealth biasa. Ada kepuasan tersendiri apabila melihat pasukan yang pada awalnya kecil berkembang menjadi sebuah organisasi yang semakin kuat.
Dari segi cerita, Peace Walker juga penting untuk memahami perjalanan Big Boss dan perkembangan idea yang diteruskan dalam Metal Gear Solid V. Jadi, kalau korang bercadang untuk main MGS5, aku memang sarankan kau mencuba Peace Walker terlebih dahulu.
Cuma, masalah utamanya ialah visual yang sudah agak berusia. Walaupun versi HD kelihatan lebih baik berbanding versi asal PSP, model watak, animasi dan persekitarannya masih menunjukkan usia game ini. Pada pendapat aku, Peace Walker sebenarnya layak menerima remake berbanding remaster supaya lebih menarik kepada pemain moden.
Walaupun begitu, gameplay dan sistem pengurusannya masih cukup kukuh untuk membuatkan game ini berbaloi dicuba.
Metal Gear Solid: Ghost Babel, Bonus Untuk Peminat Tegar
Berbeza dengan dua game tadi, Metal Gear Solid: Ghost Babel asalnya dilancarkan untuk Game Boy Color. Ia menggunakan perspektif dari atas (top-down) dengan gameplay yang lebih ringkas, berasaskan stealth dan penyelesaian puzzle.
Ghost Babel tidak mempunyai skala penceritaan sebesar MGS4 atau sistem pengurusan pasukan seperti Peace Walker. Sebaliknya, ia menawarkan pengalaman Metal Gear yang lebih santai dan mudah difahami, sesuai dengan identiti game mudah alih pada zamannya.
Perkara penting yang perlu diketahui ialah Ghost Babel bukan canon dalam cerita utama Metal Gear Solid. Jadi, kau tak perlu memainkannya untuk memahami perjalanan Solid Snake atau Big Boss.
Tempoh game ini juga agak pendek, sekitar tiga jam bergantung pada cara korang bermain. Oleh itu, aku menganggapnya sebagai bonus yang menarik untuk peminat tegar yang mahu meneroka lebih banyak kandungan berkaitan Metal Gear.
Kalau korang hanya berminat dengan jalan cerita utama, Ghost Babel bukanlah game yang wajib dimainkan. Namun, kalau korang suka game klasik dengan mekanik ringkas, ia masih boleh memberikan pengalaman yang menyeronokkan.
Harga dan Prestasi Teknikal
Berdasarkan harga, Metal Gear Solid: Master Collection Vol. 2 dijual pada sekitar RM170 untuk Steam dan PlayStation. Pada aku, harga tersebut agak munasabah memandangkan kau mendapat dua game utama serta satu game bonus.
Peningkatan MGS4 kepada resolusi sehingga 4K dan sasaran 60 FPS juga merupakan nilai tambah yang besar. Visual kelihatan lebih tajam dan waktu loading yang lebih singkat menjadikan pengalaman bermain lebih selesa berbanding zaman PS3.
Namun begitu, jangan mengharapkan ketiga-tiga game menerima penambahbaikan teknikal yang sama rata. Peace Walker masih kelihatan seperti game dari era PSP walaupun menggunakan visual HD, manakala Ghost Babel mengekalkan identiti grafik klasiknya.
Bagi peminat lama yang sudah memiliki game ini, keputusan untuk membeli semula banyak bergantung pada keinginan korang untuk memainkannya di platform baharu. Tetapi bagi pemain yang tidak pernah berpeluang mencubanya, koleksi ini menawarkan cara yang lebih mudah untuk menikmati sejarah Metal Gear.
Kesimpulan
Secara keseluruhannya, Metal Gear Solid: Master Collection Vol. 2 ialah koleksi yang berjaya membawa kembali beberapa game penting dalam sejarah industri gaming.
MGS4 menjadi tarikan utama menerusi penceritaan yang emosional dan gameplay stealth yang masih menyeronokkan, manakala Peace Walker menawarkan sistem pengurusan pasukan yang mendalam serta hubungan penting dengan MGS5.
Ghost Babel pula menjadi bonus menarik untuk peminat tegar, walaupun ia tidak begitu penting untuk memahami jalan cerita utama.
Kelemahan terbesar koleksi ini ialah penambahbaikan teknikal yang tidak sekata. MGS4 menerima peningkatan yang ketara, tetapi Peace Walker masih memerlukan usaha tambahan untuk kelihatan lebih menarik kepada pemain moden. Cutscene MGS4 yang panjang juga mungkin tidak sesuai untuk semua orang.
Walaupun begitu, kekurangan tersebut tidak menghapuskan nilai koleksi ini. Kalau korang belum pernah memainkan MGS4 di PS3 atau Peace Walker di PSP, ini peluang yang sangat baik untuk menikmati kedua-dua game ini tanpa perlu bergantung kepada konsol lama.
RATING JOMGAMING: 7/10