Francais Silent Hill kembali dengan sebuah pengalaman seram baharu menerusi Silent Hill: Townfall, terbitan Konami dan dibangunkan oleh Screen Burn Interactive.
Kali ini, pemain dibawa keluar daripada lokasi yang biasa dikaitkan dengan francais ini untuk meneroka sebuah pulau fiksyen di Scotland bernama St. Amelia.
Bukan itu sahaja, Townfall turut menampilkan perspektif first-person sepenuhnya, menjadikannya satu pendekatan berbeza berbanding kebanyakan game Silent Hill sebelum ini.
Selepas Silent Hill f memperkenalkan latar lokasi Jepun, Townfall sekali lagi membuktikan Konami sedang bereksperimen dengan arah baharu untuk francais seram ikonik ini.
Namun, adakah perubahan tersebut cukup untuk menghasilkan sebuah game yang setanding dengan game sebelumnya?
Misteri Terungkai Melalui Tiga Watak
Silent Hill: Townfall memulakan ceritanya dengan Simon, seorang lelaki yang terdampar di tepi sebuah bot tanpa mengetahui bagaimana dia boleh berada di situ. Dia kemudian mendapat petunjuk misteri yang membawanya kembali ke St. Amelia, sekali gus memulakan perjalanan untuk membongkar rahsia di sebalik keadaan pulau tersebut.
Sepanjang game, kita turut mengikuti kisah Zoe dan Richard. Ketiga-tiga watak ini boleh dimainkan, dengan setiap seorang menawarkan perspektif berbeza terhadap kejadian yang berlaku. Apabila jalan cerita mereka mula bersilang, pemain akan memperoleh gambaran lebih jelas tentang misteri yang menyelubungi St. Amelia.
Menariknya, jalan cerita Townfall terasa lebih mudah diikuti berbanding Silent Hill f. Walaupun permulaannya agak mengelirukan, segala persoalan mula terjawab apabila kita mengumpulkan maklumat dan memahami pengalaman setiap watak. Pemain tidak semestinya perlu mengulang main berkali-kali semata-mata untuk memahami keseluruhan ceritanya.
Bagaimanapun, pendekatan ini mungkin terasa sedikit kurang mendalam bagi peminat yang gemarkan jalan cerita kompleks dengan pelbagai tafsiran. Jika dibandingkan dengan Silent Hill f yang meninggalkan banyak persoalan untuk dibincangkan, Townfall lebih terus kepada jawapan yang ingin disampaikan.
Gameplay Lebih Menekankan Stealth
Dari segi gameplay, Townfall memberikan penekanan besar terhadap stealth dan pengurusan sumber.
Jangan harapkan pengalaman seperti Silent Hill f yang membolehkan pemain melawan musuh dengan lebih agresif. Dalam Townfall, peluru, senjata dan item healing sangat terhad, menyebabkan setiap pertembungan dengan musuh perlu dipertimbangkan dengan teliti.
Ada bahagian yang membuatkan kita hampir tidak mampu mempertahankan diri. Pemain perlu menggunakan barangan seperti botol kaca untuk mengalihkan perhatian musuh sebelum mencari peluang untuk melarikan diri. Malah, sesetengah bahagian memaksa kita bergantung sepenuhnya pada stealth kerana tiada senjata yang boleh digunakan untuk melawan.
Sistem ini berjaya menghasilkan suasana terdesak, terutamanya apabila berdepan dengan musuh yang akan terus mengejar sehingga kita menemui kawasan selamat. Kita bukan sahaja perlu tahu bila hendak bersembunyi, malah perlu merancang laluan dan menggunakan sumber dengan bijak.
Townfall turut memperkenalkan peranti CRTV yang membantu Simon mengesan kehadiran musuh melalui isyarat tertentu. Peranti ini bukan sekadar alat untuk mengesan ancaman, tetapi turut digunakan dalam penyelesaian puzzle. Mekanik tersebut menambahkan variasi kepada gameplay, walaupun mungkin mengambil sedikit masa untuk dibiasakan.
Secara keseluruhannya, gameplay Townfall sesuai untuk pemain yang gemarkan pengalaman survival horror yang perlahan dan mencabar. Namun, mereka yang lebih suka melawan musuh dengan lebih agresif mungkin akan berasa terkongkong dengan keterbatasan yang ditawarkan.
Puzzle Boleh Menguji Kesabaran
Puzzle sememangnya sebahagian daripada identiti Silent Hill, dan Townfall meneruskan tradisi tersebut dengan beberapa puzzle yang agak mencabar.
Ada puzzle yang memerlukan pemain meneliti dokumen, memahami petunjuk dan menghubungkan maklumat yang ditemui sepanjang penerokaan. Sesetengah puzzle turut melibatkan elemen perubatan yang memerlukan kita memerhatikan butiran tertentu sebelum dapat meneruskan perjalanan.
Masalahnya, tahap kesukaran sesetengah teka-teki boleh terasa keterlaluan. Ada masanya kita terpaksa berhenti daripada meneruskan cerita kerana masih belum menemui penyelesaian yang betul. Walaupun petunjuk sebenarnya tersedia dalam game, proses untuk memahaminya boleh membuatkan pemain hilang momentum.
Option untuk diberikan hint sememangnya berguna, tetapi pemain yang memilih setting yang biasa mungkin masih berdepan beberapa bahagian yang mengecewakan.
Selain itu, game ini sangat menggalakkan kita membaca dokumen untuk memahami latar belakang pulau dan penduduknya. Pendekatan tersebut menjadikan dunia game ini lebih menarik, tetapi mungkin kurang sesuai untuk pemain yang gemarkan pengalaman pantas tanpa perlu berhenti untuk membaca terlalu banyak maklumat.
Perspektif First-Person Menambahkan Ketegangan
Salah satu perubahan terbesar Townfall ialah penggunaan perspektif first-person sepanjang game berlangsung. Walaupun francais ini pernah bereksperimen dengan perspektif tersebut dalam Silent Hill 4: The Room, kali ini pendekatan itu menjadi asas kepada keseluruhan pengalaman gameplay.
Pada pendapat aku, perspektif ini memang sesuai untuk game seram yang menekankan stealth. Apabila berdepan dengan raksasa, kita tidak lagi dapat melihat keadaan sekeliling melalui kamera di belakang watak. Sebaliknya, kita perlu memusingkan kamera sendiri untuk memastikan tiada ancaman yang menghampiri dari arah belakang.
Perasaan tidak pasti itu menjadikan penerokaan lebih mendebarkan. Bunyi yang tiba-tiba berubah, kemunculan musuh dan situasi dikejar dalam ruang sempit mampu menghasilkan detik yang cukup mencemaskan.
Walau bagaimanapun, perspektif first-person sahaja tidak menjamin sesebuah game menjadi lebih menakutkan.
Reka bentuk musuh dan variasi ancaman masih memainkan peranan penting. Dalam aspek ini, reka bentuk raksasa Townfall terasa agak biasa dan kurang mengagumkan jika dibandingkan dengan Silent Hill f. Dengan latar Scotland yang mempunyai identiti tersendiri, kami merasakan game ini boleh memanfaatkan unsur budaya dan persekitaran tempatan dengan lebih kreatif untuk menghasilkan makhluk yang lebih unik.
Muzik Seram Menjadi Kekuatan Utama
Jika ada satu aspek yang benar-benar menyerlah, ia adalah muzik dan reka bentuk audio. Muzik gubahan Anthony Scott Burns berjaya membina suasana yang menegangkan, khususnya ketika pemain cuba mengelakkan musuh atau meneroka kawasan yang sunyi.
Bunyi persekitaran dan perubahan muzik pada saat tertentu membuatkan kita sentiasa berjaga-jaga. Ada masanya kita tidak pasti sama ada sesuatu bunyi menandakan kehadiran musuh atau sekadar sebahagian daripada suasana.
Gabungan audio yang berkesan dengan perspektif first-person menjadikan detik dikejar musuh lebih mendebarkan. Kalau dimainkan menggunakan headphone dalam suasana gelap, pengalaman ini pastinya lebih terasa.
Dari segi persembahan teknikal pula, pengalaman bermain di PS5 berjalan dengan lancar sepanjang keseluruhan game. Tiada masalah prestasi besar atau gangguan ketara yang menjejaskan pengalaman bermain.
Kesimpulan: Eksperimen Menarik Yang Masih Boleh Diperbaiki
Secara keseluruhannya, Silent Hill: Townfall ialah sebuah game seram yang mempunyai identiti tersendiri, tetapi masih belum mencapai potensi sepenuhnya. Perubahan latar ke Scotland, perspektif first-person dan penekanan terhadap stealth memberikan nafas baharu kepada francais ini.
Kekuatan utamanya terletak pada suasana seram, muzik yang berkesan dan gameplay yang memerlukan pemain berfikir sebelum bertindak. Jalan ceritanya juga lebih mudah diikuti, sementara penggunaan dokumen membantu menjelaskan misteri yang menyelubungi St. Amelia.
Namun, game ini masih mempunyai beberapa kelemahan. Puzzle yang terlalu mencabar boleh mengganggu rentak, manakala reka bentuk raksasa terasa kurang menonjol. Pengurusan sumber yang ketat juga mungkin tidak disenangi oleh pemain yang lebih gemarkan aksi dan pertempuran agresif.
Kami melihat Townfall sebagai satu eksperimen yang menarik untuk masa depan Silent Hill. Konami nampaknya semakin terbuka untuk bekerjasama dengan studio berbeza dan meneroka latar budaya baharu. Walaupun hasilnya kali ini belum begitu sempurna, pendekatan tersebut mempunyai potensi besar sekiranya terus diperhalusi dalam game akan datang.
Bagi peminat survival horror yang sabar, gemarkan stealth dan tidak kisah membaca dokumen untuk memahami cerita, Silent Hill: Townfall masih berbaloi untuk dicuba. Namun, jika anda mahukan pengalaman yang lebih pantas dengan aksi pertempuran yang lebih banyak, permainan ini mungkin bukan pilihan terbaik.
RATING JOMGAMING: 7/10
Saya pernah merasa ketakutan saat bermain game horor di ruangan yang sangat terang, kondisi itu berbeda dengan pengalaman saya di luar rumah.