Review bersama oleh Faiz Tobeng dan Haris Yusak.
Setiap tahun, peminat bola sepak akan kembali ke padang menerusi siri EA Sports FC. Walaupun game ini sering menerima kritikan daripada komuniti, terutamanya berkaitan isu server, gameplay dan ciri-ciri yang dirasakan berulang, ia tetap mempunyai peminat setia yang sanggup menghabiskan ratusan jam bermain setiap musim.
EA Sports FC 27 meneruskan tradisi tersebut dengan beberapa penambahbaikan pada gameplay, Ultimate Team dan Pro Clubs yang kini dikenali sebagai The Ground.
Namun, adakah perubahan yang dibawakan kali ini cukup untuk menjadikan game ini berbaloi untuk dimainkan?
Selepas menghabiskan masa bermain di PC dan PS5, kami mendapati EA Sports FC 27 mempunyai beberapa perubahan yang menarik, terutamanya dari segi gameplay di atas padang. Bagaimanapun, tidak semua penambahan baharunya berjaya memberikan pengalaman yang lebih baik.
Gameplay Lebih Realistik Dengan Defending Dipertingkatkan
Secara keseluruhannya, gameplay EA Sports FC 27 masih mengekalkan asas daripada game terdahulu. Kalau korang mengharapkan perubahan besar dari segi gameplay, mungkin korang akan sedikit kecewa kerana EA masih menggunakan formula yang sama dengan beberapa pelarasan kecil.
Walau bagaimanapun, perubahan yang paling ketara kali ini ialah sistem pertahanan. Sebagai pemain yang lebih gemar bermain di posisi pertahanan, aku dapat rasakan peningkatan dari segi cara pemain memintas hantaran, melakukan jockey dan merebut bola daripada pihak lawan.
Sebelum ini, ada kalanya pemain pertahanan gagal memintas bola walaupun sudah berada tepat di laluan hantaran lawan. Dalam EA Sports FC 27, situasi tersebut terasa lebih baik kerana pemain kini lebih konsisten melakukan interception, termasuklah pemain yang mempunyai rating lebih rendah.
Selain itu, teknik jockey juga terasa lebih berkesan. Pemain pertahanan kini mempunyai peluang lebih tinggi untuk merebut bola hanya dengan mengawal posisi dan mendekati pemain lawan. Ini secara tidak langsung mengurangkan keperluan untuk melakukan standing tackle secara berlebihan, terutamanya di dalam kotak penalti yang boleh mengundang sepakan penalti.
AI juga nampak lebih agresif dan tidak lagi terlalu pasif seperti yang sering dikeluhkan sebelum ini. Pemain AI kini lebih berani mencabar lawan, menutup ruang dan melakukan terjahan. Kadangkala, mereka juga mampu membuat keputusan yang tidak dijangka, menjadikan setiap perlawanan terasa lebih mencabar.
Dari segi serangan pula, kawalan dribbling terasa lebih lancar. Pemain tidak perlu terlalu bergantung pada kombinasi butang tertentu untuk menggelecek lawan. Dengan kawalan analog yang betul serta penggunaan posisi badan, pemain boleh melepasi beberapa pertahanan dengan lebih mudah.
Namun begitu, sistem hantaran kali ini memerlukan sedikit penyesuaian. Pilihan hantaran kini lebih tertumpu kepada Semi-Assisted dan Manual, jadi pemain perlu lebih tepat menentukan arah serta kekuatan hantaran. Hantaran through ball juga terasa lebih sukar untuk dilakukan, menjadikan permainan hantaran pendek dan build-up serangan yang lebih teratur semakin penting.
Sebaliknya, crossing terasa lebih mudah dilakukan. Dengan posisi badan yang sesuai dan penggunaan kaki dominan, hantaran lintang boleh sampai kepada penyerang dengan lebih konsisten. Ini mungkin menjadikan strategi menggunakan penyerang tinggi dan serangan melalui bahagian sayap semakin popular.
Sistem finishing dan penjaga gol pula masih mempunyai ruang untuk diperbaiki, tetapi percubaan ke arah gol terasa lebih sukar dijangka. Tiada satu jenis rembatan yang boleh dianggap sebagai jaminan gol. Pemain perlu mengambil kira posisi badan, sudut rembatan dan kedudukan penjaga gol sebelum membuat keputusan.
Secara keseluruhannya, perubahan gameplay ini mungkin tidak begitu besar, tetapi ia memberikan pengalaman bola sepak yang lebih taktikal dan memerlukan pemain berfikir sebelum melakukan hantaran atau percubaan ke arah gol.
Ultimate Team Masih Dengan Formula Sama
Beralih kepada Ultimate Team, mode ini masih mengekalkan kebanyakan elemen yang sudah biasa dilihat dalam siri terdahulu. Pemain masih perlu mengumpul kad, melengkapkan objektif, menaikkan tahap Season Pass dan menyelesaikan pelbagai cabaran untuk mendapatkan ganjaran.
Penambahan utama kali ini ialah sistem Gallery yang memberikan cara baharu untuk mengumpul ganjaran berdasarkan pemain yang dimiliki.
Melalui sistem ini, pemain boleh mengumpulkan kad daripada kelab tertentu dan memperoleh mata berdasarkan nilai kad tersebut. Apabila jumlah mata mencapai sasaran yang ditetapkan, pemain boleh menerima ganjaran seperti jersi, lambang kelab dan token yang boleh digunakan untuk mendapatkan pemain tertentu.
Sistem ini memberikan satu lagi aktiviti kepada mereka yang gemar mengumpul kad dan membina koleksi pemain. Malah, ia juga menyediakan alternatif kepada pemain yang mungkin tidak begitu gemar bersaing dalam perlawanan online.
Selain itu, terdapat juga sistem penebusan pemain menggunakan mata yang dikumpulkan daripada kad sedia ada. Walaupun konsepnya masih memerlukan pemain mengorbankan kad tertentu, pendekatan ini terasa sedikit berbeza daripada Squad Building Challenges (SBC) tradisional yang mempunyai pelbagai syarat berkaitan rating dan kelab.
Namun, selain Gallery, tidak banyak perubahan besar yang benar-benar mengubah pengalaman Ultimate Team. Mode ini masih terasa seperti pengalaman yang sama setiap tahun, cuma dengan beberapa penambahan kecil.
The Grounds: Idea Menarik, Kurang Kandungan
Salah satu ciri yang paling banyak diberikan perhatian oleh EA kali ini ialah The Grounds, iaitu pendekatan baharu kepada pengalaman Pro Clubs dengan elemen open-world berskala kecil.
Pemain boleh mencipta karakter sendiri, meneroka kawasan sekitar, bertemu pemain lain dan menyertai pelbagai aktiviti. Antara aktiviti yang tersedia termasuklah mode 1v1, 2v2, 3v3, Rush dan beberapa mini-game lain seakan-akan dodgeball, basketball dan boling padang
Terdapat juga elemen eksplorasi yang membolehkan pemain membaca maklumat berkaitan kelab dan pemain bola sepak melalui mural atau objek tertentu di sekitar kawasan tersebut.
Pada pandangan pertama, The Grounds memang kelihatan menarik. Ia memberikan suasana sosial yang berbeza daripada pengalaman Pro Clubs biasa, selain membolehkan pemain menghabiskan masa bersama rakan sebelum memulakan perlawanan.
Masalahnya, tarikan tersebut tidak bertahan lama.
Selepas beberapa kali meneroka kawasan ini, kandungannya mula terasa berulang dan pemain mungkin tertanya-tanya apa lagi yang boleh dilakukan. Ganjaran pengalaman daripada sesetengah mini-game juga terlalu sedikit untuk menggalakkan pemain terus mengulanginya, terutamanya apabila karakter sudah mencapai level lebih tinggi.
Masalah matchmaking turut menjejaskan pengalaman ini. Sesetengah aktiviti seperti Rush lebih mudah mendapatkan pemain, tetapi mini-game lain kadangkala terasa kosong. Apabila perlu menunggu pemain lain untuk memulakan aktiviti, keseluruhan pengalaman menjadi kurang menyeronokkan.
Bagi pemain yang hanya mahu bermain Pro Clubs bersama rakan, The Grounds juga menambah satu lapisan yang tidak begitu diperlukan. Pemain perlu melalui kawasan tersebut sebelum masuk ke mode utama, sekali gus menambah masa loading dan langkah yang tidak perlu.
Pada pendapat aku, EA sepatutnya memberikan lebih banyak penambahbaikan kepada Pro Clubs itu sendiri daripada memperkenalkan kawasan baharu yang berisiko ditinggalkan selepas beberapa minggu. The Grounds mempunyai potensi, tetapi ia memerlukan kemas kini kandungan secara konsisten untuk memastikan pemain terus kembali.
Pro Clubs: Penambahbaikan Lebih Bermakna
Walaupun The Grounds agak mengecewakan, mode Pro Clubs itu sendiri menerima beberapa perubahan yang lebih berguna.
Antara penambahan yang paling dialu-alukan ialah peningkatan jumlah pemain simpanan yang boleh masuk daripada seorang kepada tiga orang. Ini memudahkan rakan yang terlepas matchmaking untuk menyertai permainan, tanpa perlu menunggu sehingga perlawanan selesai.
Lebih menarik, pemain yang disconnected (DC) juga boleh masuk semula ke dalam perlawanan. Ciri ini sangat membantu memandangkan isu connection dan server masih menjadi sebahagian daripada pengalaman bermain EA Sports FC.
Penggunaan consumable juga terasa lebih adil kerana item tersebut tidak sepatutnya dibazirkan apabila pemain DC sebelum menyelesaikan perlawanan.
Selain itu, sistem Archetype kini lebih fleksibel. Secara default, semua Archetype kini sudah unlocked, tidak perlu lagi untuk kita unlock satu per satu. Perkara ini membolehkan pemain mencuba posisi berlainan tanpa perlu mengumpul mata untuk unlock setiap Archetype terlebih dahulu. Mata yang ada juga boleh digunakan untuk membeli item kosmetik dan consumable.
Pemain turut boleh menetapkan semula attribute karakter pada bila-bila masa tanpa perlu risau tentang penggunaan mata seperti dahulu. Perubahan ini memudahkan pemain menyesuaikan karakter mengikut keperluan pasukan.
AI dalam Pro Clubs juga mendapat manfaat daripada penambahbaikan gameplay. Pemain AI kini lebih agresif ketika bertahan, lebih kerap memintas hantaran dan memberikan cabaran yang lebih baik kepada pasukan lawan. Ini menjadikan perlawanan lebih menarik, terutamanya apabila pasukan tidak mempunyai cukup pemain manusia.
Bagaimanapun, masih terdapat beberapa isu teknikal seperti loading yang panjang, masalah matchmaking dan skrin selepas perlawanan yang kadangkala tersekat. Isu ketiadaan pilihan untuk memilih warna seluar sebelum perlawanan bermula masih lagi menjadi masalah kepada kapten.
Kesimpulan
EA Sports FC 27 ialah sebuah game bola sepak yang berjaya memperhalusi beberapa aspek penting tanpa melakukan perubahan besar terhadap formula asalnya.
Gameplay menjadi lebih menarik melalui sistem pertahanan yang lebih konsisten, AI yang agresif, dribbling yang lancar dan finishing yang lebih sukar dijangka. Ultimate Team pula masih menyeronokkan untuk peminat tegar, walaupun sistem Gallery terasa seperti penambahan kecil dan bukannya perubahan besar.
The Grounds merupakan bahagian yang paling mengecewakan kerana konsepnya menarik tetapi kandungannya belum cukup mendalam untuk mengekalkan minat pemain. Sebaliknya, penambahbaikan Pro Clubs seperti penambahan bilangan pertukaran pemain simpanan, keupayaan menyertai semula perlawanan dan sistem Archetype yang lebih fleksibel memberikan kesan yang lebih signifikan.
Jika korang lebih mementingkan gameplay di atas padang dan kerap bermain Pro Clubs bersama rakan, EA Sports FC 27 masih mempunyai banyak perkara yang boleh dinikmati. Namun, bagi pemain yang mengharapkan perubahan besar atau kandungan baharu yang benar-benar segar, game ini mungkin terasa seperti satu lagi kemas kini tahunan.
RATING JOMGAMING: 7/10
Saya pernah cuba guna versi lama di mana kawalan sentuhan berbeza daripada versi terkini. Perbezaan itu sangat ketara apabila bermain dalam suasana yang memerlukan ketepatan tinggi.